30 November 2010

Kursus kahwin mungkin dipinda

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Modul kursus perkahwinan yang sedia ada kemungkinan besar akan dikaji semula dan dipinda isi kandungannya pada tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, kajian semula tersebut perlu dilakukan supaya seiring dengan perkembangan dan situasi semasa.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan sekiranya modul kursus perkahwinan dipinda, yuran sebanyak RM80 yang dikenakan pada masa ini tidak akan dinaikkan.

"Sebenarnya modul kursus ini akan dikaji setiap lima tahun untuk ditambah baik. Kali terakhir ia dipinda pada 2005. Jadi kemungkinan besar ia akan diteliti semula tahun depan.

"Apa-apa pun, keputusan untuk mengkaji semula kursus perkahwinan bergantung kepada Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyediakan modulnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan sijil kepada peserta kursus praperkahwinan anjuran bersama Pemuda UMNO Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua Pemudanya, Syed Medhar Syed Abdullah.

Kursus yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu disertai seramai 63 golongan belia sekitar Cheras.

Antara topik yang terkandung dalam kursus itu adalah prosedur perkahwinan, undang-undang dan pengurusan tekanan serta kesihatan keluarga.

Terdahulu dalam ucapannya, Che Mat memuji usaha yang dilakukan UMNO Cheras dalam mendekati golongan belia melalui penganjuran kursus seumpama itu.

"Kursus ini sebenarnya sangat penting kerana memberi pendedahan awal dan ilmu pengetahuan kepada anak-anak muda sebelum mereka berkahwin," ujarnya.

Utusan

No comments:

Post a Comment