30 November 2010

Bacaan Yasin Mohd. Taha


SURAH Yasin memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Lebih-lebih lagi kedudukannya dalam kehidupan orang Melayu.

Malah jika disebut sahaja surah Yasin, yang tergambar dalam fikiran kita adalah suasana kematian. Mengapa? Ini berkemungkinan kerana surah inilah yang dibacakan oleh masyarakat Islam kita ketika majlis kenduri arwah dan sewaktu menziarahi jenazah.

Bahkan, surah yang tidak kurang popular selepas surah al-Fatihah ini jugalah yang dibacakan pada malam Jumaat dan malam Nisfu Syaaban.

Selain itu, surah ini juga adalah antara ayat-ayat Ruqyah, yang mana digunakan untuk menghalau makhluk-makhluk halus atau mereka yang terkena gangguan jin, iblis dan syaitan.

Hakikatnya, surah Yasin yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai jantung al-Quran sangat elok dijadikan amalan. Sementelah pula, dalam riwayat at-Tirmizi ada menyebut bahawa: "Sesiapa yang membaca Yasin, maka Allah SWT menulis baginya seperti mana membaca al-Quran sebanyak 10 kali. Allah SWT adalah sebaik-baik pemberi ganjaran."

Bertepatan dengan kelebihan itulah, maka Inteam Records Sdn. Bhd. telah menerbitkan album Surah Yasin, Tahlil dan Doa yang mengandungi bacaan penuh surah Yasin oleh Mohd. Taha Hassan Azhari secara murattal.

Ia diikuti dengan bacaan tahlil dan seterusnya dilengkapi dengan bacaan doa.

Album terbaru daripada Mohd. Taha ini adalah buah tangan beliau selepas mendapat sambutan dengan album Ayat-Ayat Ruqyah, Ayat-Ayat Syifa' dan Azab serta Surah-Surah Lazim.

Album yang cukup bermanfaat ini sudah berada di pasaran dan dijual pada harga RM16.90 bagi format cakera padat (CD).

Album ini juga boleh dibeli secara dalam talian (online) dengan melayari laman web www.inteammobile.com

utusan

No comments:

Post a Comment