27 November 2010

Cucu Mat Kilau keluar PKR

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Dahulu negara pernah digemparkan dengan tindakan ‘berani mati’ seorang ahli lelaki Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencium penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di khalayak ramai yang pada masa itu memakai penyokong leher.

Sejarah individu itu sebagai penyokong tegar Anwar yang juga seorang penulis blog dengan nama komersialnya, Cucu Mat Kilau (CMK) atau nama sebenarnya, Mohd. Shukri Mohd. Ramli,kini tinggal sejarah apabila akhirnya beliau memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

CMK yang pernah bertanding mewakili PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, telah menghambakan dirinya lebih 11 tahun berjuang mempertahankan Anwar dan parti itu bersama-sama dengan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor.

CMK di dalam blognya, www.cucumatkilau.blogspot.com menegaskan bahawa tindakan keluar PKR bukanlah satu keputusan bijak, namun demi meneruskan perjuangan beliau rela membebaskan diri daripada parti itu.

“Akhirnya CMK tidak sanggup lagi untuk menipu diri sendiri. Selama ini apa saja yang berlaku kepada Anwar dan Keadilan pasti CMK akan pertahankan bermati-matian, sama seperti penyokong tegar PKR lain.

“Namun, sejak akhir-akhir ini CMK merasakan bagai satu kesalahan besar jika CMK gagal menegur dan mengembalikan semula maruah parti yang kini mula tercalar gara-gara pemilihan 2010,” katanya.

Dakwa beliau, budaya jahiliah kini menyelinap masuk secara meluas ke dalam parti dan ia menyebabkan hala tuju perjuangan PKR tersasar, walau dinafikan namun itulah hakikatnya.

“Semuanya gara-gara beberapa kerat pemimpin yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa. Masing-masing mahu menjadi pemimpin parti untuk membuka laluan mudah dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

“Masing-masing kini bercita-cita serta berhasrat untuk menjadi ADUN dan Ahli Parlimen selepas melihat peluang PKR menawan Putrajaya pada PRU-13 ini semakin cerah.

“Kerana cita-cita itulah, mereka yang terbabit sanggup melanggar ‘pantang’ selama ini. Amalan yang mereka benci ketika dalam UMNO dahulu kini menjadi mainan dek kerana jawatan dan kuasa,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan pimpinan tertinggi PKR, CMK berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) yang sepatutnya bertindak secara bebas, adil dan profesional bagi mengadili pemilihan itu tidak lagi menjadi telus.

Katanya, ia sekadar menjadi robot untuk memuaskan nafsu pihak-pihak tertentu dan amat tidak wajar dijadikan alat yang secara jelas mencabuli amalan demokrasi yang kononnya mahu dipertahankan oleh PKR.

“Pemimpin yang rosak akhlaknya tidak layak untuk disanjung oleh rakyat apatah lagi mereka yang jelas cuba menipu dan mempermainkan parti sendiri.

“Bukankah amalan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah parti yang memperjuangkan agenda perubahan buat rakyat,” katanya.

utusan

* Ada blog dia disenaraikan di sini antara blogger Pakatan Rakyat? Jawapan dia TIADA...

No comments:

Post a Comment