25 October 2010

Pengurus syarikat tayar mati ditembak

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Seorang pengawal keselamatan di Taman Peringatan Nirvana Semenyih dekat sini terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang mulanya disangka mabuk dan tertidur di pintu masuk tanah perkuburan itu, sebenarnya mati ditembak.

Pengawal berusia lingkungan 40-an itu menemui seorang lelaki tertiarap di pintu masuk tanah perkuburan tersebut sejak pukul 12.30 malam tadi, namun tidak mempedulikannya kerana menyangka lelaki itu mabuk dan tertidur di situ.

Dia bagaimanapun mula sangsi apabila lelaki terbabit tidak bergerak-gerak sehingga pukul 7 pagi ini lalu menghampirinya untuk memeriksa.

Alangkah terkejutnya dia apabila mendekati mangsa dan mendapatinya berlumuran darah. Pengawal tersebut kemudiannya menghubungi Balai Polis Semenyih untuk memaklumkan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menjalankan siasatan dan mengesahkan mangsa mati akibat terkena tembakan di belakang badannya.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Kho Hock Kah, 51, pengurus sebuah syarikat pengeluar tayar di Taman Teknologi Kajang di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dibawa ke tanah perkuburan terbabit dari tempat lain sebelum ditembak di situ.

"Terdapat satu kesan tembakan di belakang badan mangsa dipercayai dilepaskan dari pistol jenis automatik.

"Mangsa yang beralamat di Taman Ria, Sungai Jelok di sini sudah berpisah dengan isterinya," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih, di sini hari ini.

Mohd. Shakaruddin berkata, polis menemui satu kelongsong peluru berhampiran mayat mangsa manakala barangan peribadi seperti dompet dan dokumen pengenalan diri masih ada bersamanya.

Beliau berkata, motif mangsa ditembak masih dalam siasatan dan polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk faktor cemburu, samun atau dendam.

Katanya, polis sedang mengesan kereta mangsa jenis Nissan Sentra warna perak bernombor pendaftaran WPX 2099.

"Sejak berpisah dengan isterinya, mangsa tinggal di pejabatnya di Taman Teknologi Kajang dan memandu kereta Nissan Sentra namun kereta itu hilang selepas kejadian," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa melihat kereta terbabit atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - Utusan

No comments:

Post a Comment