25 October 2010

Kanak-kanak paling ramai mangsa seksual

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Golongan kanak-kanak dikesan paling ramai menjadi mangsa serangan seksual melibatkan jenayah rogol dan cabul kehormatan sejak 2008 hingga Ogos lalu.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 54 peratus mangsa serangan seksual terdiri daripada kanak-kanak manakala baki 46 peratus adalah wanita.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebanyak 14,643 kes rogol dan cabul dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 9,461 kes atau 65 peratus adalah rogol manakala 35 peratus atau 5,182 kes cabul kehormatan.

“Kanak-kanak dalam kes ini adalah mereka yang berusia 18 tahun ke bawah sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Kanak-kanak 2001.

“Sebanyak 6,963 kes rogol dan 2,506 kes cabul melibatkan kanak-kanak. Trend jenayah serangan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dilihat semakin meningkat dan membimbangkan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan program perlindungan wanita dan kanak-kanak ‘1Malaysia Social Caring Initiative-Bengkel City Survival Skill’ di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie dan Penasihat Eksekutif Yayasan Bakti Nusa Malaysia, Datuk Seri Ong Tee Keat. - Utusan

No comments:

Post a Comment