23 April 2010

Zahid: Henti pertikai pembelian aset pertahanan

HULU SELANGOR, 23 April — Tindakan berterusan pembangkang mempertikaikan setiap keputusan kerajaan dalam pembelian aset pertahanan negara harus dihentikan segera, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Beliau berkata pembangkang, khususnya Anggota Parlimen perlu berfikir secara rasional sebelum mengemukakan bantahan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama.

“Sepatutnya kita sebagai ahli Parlimen, pembangkang atau kerajaan, demi untuk kepentingan negara kita harus pertahankan bersama-sama. Bukan dengan cara mencari kesalahan untuk mencipta kesalahan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua bahawa kerajaan bercadang membeli 257 kereta perisai 8x8 (APC) melebihi harga pasaran.

Beliau sebelum itu meluangkan masa bersama-sama 1,200 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang terpilih daripada enam negeri bagi mengikuti pelancaran kad pintar PLKN di kem PLKN Pelangi Hill Resort di Kerling di sini.

Pua yang mengulas laporan Kementerian Pertahanan yang telah memeterai surat pernyataan hasrat bernilai RM8 bilion dengan Deftech Sdn Bhd ketika pameran Defence Service Asia di Kuala Lumpur Selasa lepas mendakwa, kerajaan akan membelanjakan RM31.1 juta bagi setiap kereta perisai itu meskipun terdapat model yang jauh lebih murah dan canggih di pasaran.

Ahmad Zahid berkata dakwaan tersebut tidak rasional sama sekali kerana apa yang dimeterai sekarang akan hanya diperolehi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang di mana sudah pasti keadaannnya akan berubah.

Mengenai kad pintar PLKN, Ahmad Zahid berkata ia menawarkan pelbagai keistimewaan khas untuk pelatih dan bekas pelatih antaranya, rebet tunai semasa pembelian tambah nilai telefon untuk semua syarikat telekomunikasi, perlindungan insurans sehingga RM10,000 dengan bayaran premium hanya RM3 setahun serta bantuan kemasukan ke hospital sebanyak RM500 dan khairat kematian bernilai RM3,000.

Kad itu dihasilkan oleh Syarikat Ko-Upay dengan kerjasama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Beliau berkata kad pintar sepanjang hayat itu juga akan menjadi lambang pengenalan atau identiti khusus buat setengah juta pelatih dan bekas pelatih PLKN seluruh negara.

“Jangan hanya tengok pada keistimewaan atau diskaun yang ditawarkan saja, yang penting kad ini akan menjadi tanda dan pengiktirafan bahawa kita pernah menjadi sebahagian daripada warga PLKN,” katanya. — Bernama

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil. — Bernama

* Mana boleh duduk diam bila tahu UmnoBN bazirkan duit rakyat...

No comments:

Post a Comment