23 April 2010

SPR yakin ubah pusat undi tak jejas peratusan mengundi

HULU SELANGOR, 23 April — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin peratusan keluar mengundi pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad ini tidak akan terjejas walaupun pihaknya telah mengubah pusat pengundian di beberapa daerah mengundi.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pihaknya yakin kerana perubahan tempat mengundi tidak akan membawa kekeliruan di kalangan pengundi-pengundi di daerah mengundi terbabit.

“SPR yakin tidak akan berlaku kekeliruan kalau para pengundi Hulu Selangor menyemak nama mereka mulai sekarang atau sebelum pergi keluar mengundi,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Oleh itu beliau berkata, SPR yakin peratusan keluar mengundi tidak menurun sebagaimana didakwa sesetengah pihak di Hulu Selangor.

Pada pilihan raya umum 2008 kadar peratusan keluar mengundi adalah 72 peratus. Bahagian Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih.

“Tidak timbul soal kekeliruan... SPR mengambil langkah mengubah pusat mengundi di mana semua pengundi di tempat lama dipindahkan ke tempat baru... pusat mengundi baru yang diwujudkan, di tempat baru dan pusat mengundi yang lama ditutup.

“Jadi tak timbul soal pindah pengundi kerana kita mewujudkan pusat pengundian baru dan semua pengundi pergi ke pusat pengundian baru,” kata beliau.

Baru-baru ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa kira-kira 15,000 pengundi terlibat dalam urusan diubah tempat mengundi dan khuatir ia akan mencetuskan kekecohan ketika hari mengundi.

Semalam, SPR mempertahankan pertukaran tempat mengundi sambil menegaskan, ia dilakukan menggunakan saluran sah.

Justeru, kata SPR, pihaknya menambah dua pusat mengundi dan juga melibatkan enam pertukaran pusat-pusat mengundi di bahagian Parlimen Hulu Selangor.

Perkara ini dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan subseksyen 7(2) dan 7(4) Akta Pilihan Raya 1958.

Terdapat 46 pusat mengundi di bahagian Parlimen Hulu Selangor.

Dua daerah mengundi baru telah diwujudkan ialah Kampung Baru Serendah dan Daerah Mengundi Taman Bunga Raya manakala dua pusat mengundi baru pula terdiri daripada Sekolah Rendah Agama Serendah (bagi Daerah Mengundi Serendah) dan Sekolah Rendah Agama Taman Bunga Raya (bagi Daerah Mengundi Taman Bunga Raya).

Bagi daerah-daerah mengundi baru yang diwujudkan, pusat-pusat mengundi asal digunakan sebagai pusat mengundi iaitu SRJK (Cina) Serendah bagi daerah mengundi Kampung Baru Serendah dan SK Taman Bunga Raya (1) bagi daerah mengundi Taman Bunga Raya 2.

Sehubunga itu beliau menyeru supaya semua pengundi di Hulu Selangor untuk membuat semakan daftar pemilih menerusi laman web SPR atau melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK NO. KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888.

Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (03-8885 6500) atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor 03-55188000 atau Bilik Gerakan Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 03-6065 1389 atau 03-6065 1394. - TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment