05 April 2010

Timbang penyelesaian alternatif sebelum naikkan kadar tol

KUALA LUMPUR 5 April – Kementerian Kerja Raya telah mencadangkan beberapa langkah alternatif kepada makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam menangani isu kenaikan tol bagi lebuh raya yang terletak di kawasan bandar.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, antara yang dicadangkan pihaknya ialah memanjangkan tempoh konsesi bagi syarikat terlibat tanpa perlu membayar pampasan.

"Kementerian telah membawakan pandangan-pandangan kita ke makmal untuk dipertimbangkan.

"Kementerian berpandangan bahawa kalau lebuh-lebuh raya ini hendak di naikkan tol, perlu ada alternatif yang jelas, walaupun adanya perjanjian yang telah dimeterai antara syarikat konsesi dan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Lebuh Raya dan Pameran PLUS (Piece 2010), di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan kepentingan semua pihak seperti kerajaan, pemegang saham dan pengguna lebuh raya serta pembayar cukai terjaga.

"Justeru akhirnya perlu ada keseimbangan dalam hal ini,” katanya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga perlu menimbang status lebuh raya di bandar yang kini telah menjadi laluan utama kepada pengguna berbanding suatu ketika dulu yang menyaksikan lebuh raya sekadar jalan alternatif kepada jalan persekutuan. – Bernama

* Zalim kerajaan apabila mengaut keuntungan (dengan menyerah kepada swasta) melalui jalan raya, dalam masa sama rakyat sengsara akibat jalan raya (spt kesesakan dan kemalangan).

No comments:

Post a Comment