KUALA LUMPUR 21 April - Anggota Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mencabar Saifuddin Nasution (PKR-Machang) mengulangi tuduhan di luar dewan bahawa beliau memiliki saham dalam syarikat judi Ascot Sports.
"Boleh buat tuduhan di Masjid Pasir Mas, saya tunggu Jumaat ini, atau saya boleh pergi ke Machang atau boleh juga dibuat di luar dewan ini. Kalau dia anak jantan dan bertangunggjawab sebagai pejuang,” katanya.
Ibrahim berkata, sekiranya Saifuddin gagal berbuat demikian, beliau adalah umpama “pemimpin tahi minyak.”
Ibrahim membuat cabaran itu berhubung tuduhan yang beliau memiliki saham dalam syarikat judi itu atau syarikat-syarikat lain berkaitan Tan Sri Vincent Tan hingga dua anggota Parlimen itu bertikam lidah ketika mencelah perbahasan rang undang-undang Suruhanjaya Persaingan 2010 di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR dikatakan membuat dakwaan itu ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat akhir Mac lepas.
Ekoran dakwaan itu, Ibrahim telah menghantar satu notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mengemukakan usul merujuk Saifuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Bagaimanapun notis beliau itu ditolak di dalam kamar. - Bernama
No comments:
Post a Comment