PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor (P.094) ialah pada 17 April manakala hari pengundian ialah pada 25 April ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi kawasan itu, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham, yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi
Terdahulu, Abdul Aziz mempengerusikan mesyuarat pagi ini yang turut dihadiri bersama-sama ahli lembaga pengarah suruhanjaya itu untuk menetapkan tarikh tersebut.
Bagi menjalankan pilihan raya kecil itu, Abdul Aziz berkata, SPR bersetuju untuk melantik seorang Pegawai Pengurus dan tujuh Penolong Pegawai Pengurus pilihan raya bagi menjalankan pilihan raya kecil itu.
Pegawai Pengurus ialah Tuan Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor.
Katanya, ini adalah selaras dengan peruntukan perenggan 3(c) Akta Pilihan Raya 1958.
SPR telah menentukan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan kali ini ialah Daftar Pemilih Induk 2009 yang telah dikemas kini sehingga 26 Mac lalu.
Abdul Aziz memberitahu, daftar pemilih itu bagi P.094 mengandungi 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pemilih biasa dan 709 pemilih pos.
“SPR telah memutuskan untuk menggunakan Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
“Bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Hulu Selangor,” katanya.
Sebanyak 48 pusat mengundi dibuka dengan melibatkan 47 sekolah dan sebuah dewan orang ramai manakala terdapat 136 tempat mengundi (saluran). Seramai 1,343 petugas SPR terlibat dalam pengendalian pilihan raya kecil ini. - Mstar
No comments:
Post a Comment