10 April 2010

Pilih calon diterima pengundi muda

KUALA LUMPUR 9 April - Pergerakan Pemuda UMNO berharap calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini dipilih di kalangan mereka yang dapat diterima pengundi muda.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, faktor tersebut perlu diberi perhatian kerana kajian pergerakan itu mendapati pengundi muda di Hulu Selangor bakal menjadi faktor penentu kepada kejayaan BN untuk merampas kembali kawasan berkenaan.

"Kita harap calon yang dipilih itu hendaklah yang mesra kepada orang muda dan pengundi muda.

"Walaupun kumpulan ini tidak sampai 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di situ, tetapi kajian kita mendapati pengundi muda itu boleh menentukan keputusan pilihan raya tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor, dua hari lalu mengumumkan mengekalkan MIC bagi bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

"Pemuda harap, kali ini Perdana Menteri boleh memilih seorang calon yang mesra pengundi muda. Tidak kira calon itu orang muda atau tidak, yang penting ia dapat diterima pengundi muda, bersifat mesra serta mudah mendekati golongan muda," katanya.

Beliau berkata, kajian pergerakan itu baru-baru ini mendapati wujudnya kecenderungan di kalangan pengundi muda untuk menyokong BN tetapi bergantung kepada calon yang dipilih.

"Ketika ini, soal siapa calon bakal dipilih BN menjadi isu di kalangan pengundi muda. Jadi kita harap calon yang dipilih adalah calon yang mesra pengundi muda. Pemuda UMNO dan BN akan memastikan kempen yang akan dijalankan nanti dapat mempengaruhi golongan itu," katanya. - Bernama

* Tapi calon ini, kulitnya gelap dan tua pula... Tak tahulah itu citarasa baru pemuda dan puteri Umno :)

No comments:

Post a Comment