10 April 2010

Dua laporan pergaduhan kecil di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR 9 April - Polis Selangor hari ini mengesahkan telah menerima dua laporan berhubung pergaduhan kecil membabitkan dua kumpulan dalam sebuah parti yang sama di Hulu Selangor.

Ketua Polisnya, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, kedua-dua laporan tersebut dibuat awal minggu ini.

Menurutnya, salah satu daripada pergaduhan kecil itu berlaku ketika lawatan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu ke Taman Teratai yang merupakan lokasi kejadian.

"Kertas siasatan telah dibuka berhubung kedua-dua laporan tersebut. Kita juga telah mengambil keterangan daripada mereka yang terlibat.

"Cuma terdapat beberapa individu lagi yang belum tampil memberi keterangan bagi membolehkan kita mempercepatkan urusan siasatan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Selayang dekat sini hari ini sempena sambutan ulang tahun Peringatan Hari Polis ke-203.

Sementara itu, Khalid turut memberi amaran kepada orang luar daripada kawasan Hulu Selangor supaya tidak menimbulkan kekecohan menjelang pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu pada 25 April ini.

"Orang Hulu Selangor cintakan keamanan dan sentiasa mementingkan keharmonian yang berpanjangan tanpa mengira fahaman politik.

"Jadi saya menasihatkan orang luar yang datang ke Hulu Selangor supaya jangan cuba menimbulkan ketegangan dan menghancurkan keharmonian mereka," tegas beliau.

Menurut beliau, lebih 1,000 anggota polis akan ditempatkan di Hulu Selangor sepanjang kempen pilihan raya berkenaan. - Utusan

* Khabarnya calon BN dari parti yang bergaduh itu. Hei tambi, penamaan calon pun belum lagi dei...

No comments:

Post a Comment