KUANTAN 2 April - Semua pihak perlu menghormati keputusan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berkenan meringankan hukuman sebat Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, atas kesalahan minum arak dengan kerja khidmat komuniti selama sebulan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, Sultan Pahang telah mengunakan budi bicara baginda yang turut mengambil kira ia kesalahan pertama dilakukan bekas model sambilan itu.
"Namun, jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini bolehlah membawanya ke muka pengadilan," katanya pada sidang akhbar sempena Pelancaran Kempen Ops Potongan Zakat Berjadual (PZB) 2010 di sini hari ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut bukan prosedur baru, sebaliknya, ia dibuat atas ihsan Sultan Ahmad Shah yang menggunakan kuasa baginda mengikut peruntukan dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002.
Katanya, di bawah Seksyen 133, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Pahang 2002, Sultan Pahang, atas nasihat mufti boleh meringan atau memberi pengampunan kepada mana-mana pesalah syariah tanpa persetujuan orang yang telah dihukum.
"Saya berharap semua pihak tidak mempertikaikan atau mempersoalkan perkara tersebut dan biarlah Kartika menjalani hukuman dengan tenteram," katanya.
Beliau juga berharap Kartika dan keluarganya berpuas hati dengan keputusan yang telah ditetapkan ini dan jangan mempertikaikannya lagi.
Keputusan Sultan Pahang itu dibuat selepas Kartika Sari Dewi menghadap Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah pada 3 Mac lalu.
Ibu kepada dua anak itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating dekat sini. - Utusan
* Kartika tidak disebat sememangnya sudah dijangka dari awal lagi. Bagai hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment