15 April 2010

Calon BN belum muktamad, MIC kaji ‘tawaran’ baru

KUALA LUMPUR, 15 April — MIC yang mengambil pendirian kata dua malam tadi — sama ada calonnya diterima atau tidak bertanding sama sekali di Hulu Selangor — diberikan peluang baru untuk mengkaji semula pendiriannya.

Keputusan itu dicapai pada pertemuan antara Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira 8.30 pagi tadi.

The Malaysian Insider difahamkan pucuk kepimpinan BN tetap mahu meletakkan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan, bukannya calon tunggal yang dinamakan oleh MIC iaitu timbalan presidennya Datuk G. Palanivel.

Oleh kerana MIC terus berkeras, difahamkan pucuk kepimpinan sedia berkompromi dengan meminta MIC menamakan calon gantian.

“Jadi pucuk kepimpinan sedang mengadakan perbincangan. Pusingan pertama sudah berakhir dan sedang mengadakan pusingan kedua sebelum kembali kepada Tan Sri Muhyiddin,” kata sumber parti kepada The Malaysian Insider.

Samy Velu dijangka menemui semula Muhyiddin tengah hari — tinggal beberapa jam sebelum pengumuman calon dibuat.

Dalam pada itu, The Malaysian Insider difahamkan Umno Hulu Selangor sudah bersiap sedia dengan calonnya jika tiada perubahan di pihak MIC.

Malam tadi mesyuarat tergempat jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC membuat pendirian menolak daripada bertanding jika Palanivel yang disyorkan oleh MIC untuk bertanding di Hulu Selangor tidak diterima.

MIC sanggup untuk menyerahkan kerusi itu kepada Umno untuk meletakkan calonnya.

Dalam pada itu Naib Presiden MIC dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, secara jujur situasi masih tidak menentu dan perkara berkaitan dengan calon masih dibincangkan.

“Sudah pasti kami ambil berat (isu ini),” kata beliau sambil menambah akan ada satu lagi pertemuan dengan Muhyiddin kemudian.

“Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah Samy Vellu di Jalan Ipoh di sini kira-kira 12 tengha hari.

Palanivel yang turut hadir enggan komen.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk S.K. Devamani berkata, “jangan risau. MIC bergelora dengan tenang.”

“Anda boleh lihat kami semua di sini,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Seorang lagi Naib Presiden Datuk V. Saravanan pula memberitahu, semuanya akan diselesaikan secara dalaman.

“BN adalah satu ikatan dan saya tahu masalah ini boleh diselesaikan,” katanya. - TheMalaysiaInsider

* Apa teruk sangat UmnoBN ni...

No comments:

Post a Comment