KUALA LUMPUR 1 April - Bekas setiausaha politik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Matthias Chang Wen Chieh hari ini dihantar ke Penjara Sivil Kajang setelah gagal membayar denda RM20,000 yang perlu dilunaskan dalam masa seminggu ekoran kesalahan menghina mahkamah.
Matthias yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini dibawa pergi oleh Timbalan Pegawai Penjaga Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Asisten Supritendan Zulkifi Osman selepas waran penahanan diserahkan kepadanya.
Pada 25 Mac lalu Matthias, 60, didenda RM20,000 yang perlu dijelaskan dalam masa seminggu atau penjara sebulan jika gagal menjelaskan jumlah tersebut.
Hakim Noor Azian Shaari mensabitkan Matthias atas kesalahan di bawah Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
Iaitu pengkomitan kerana menghina mahkamah setelah dia enggan memohon maaf ketika prosiding kes samannya terhadap defendan pada tahun 2002 setelah mendakwa American Express melanggar kontrak dan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan plaintif mendakwa, defendan telah menyekat kad miliknya.
Defendan dalam pernyataan tuntutannya mendakwa plaintif telah gagal membuktikan berlakunya pelanggaran kontrak dan fitnah. - Utusan
No comments:
Post a Comment