30 March 2010

Sindiket pecah kereta, curi di Lembah Klang tumpas

KUALA LUMPUR 29 Mac – Polis percaya ia berjaya melumpuhkan satu sindiket pecah kereta dan curi di Lembah Klang ekoran penahanan lima lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, empat daripada mereka yang ditahan berumur antara 21 dan 23 tahun itu dipercayai terlibat dalam 15 kes pecah kereta di Pantai Dalam, manakala seorang lagi disyaki pembeli barang curi.

Beliau berkata, tangkapan kesemua suspek itu sebagai rentetan daripada kes seorang wanita berusia 36 tahun yang kehilangan komputer ribanya apabila cermin tingkap kereta Perodua Myvi miliknya dipecahkan ketika beliau sedang makan di kawasan Pantai Baru pada 16 Mac lepas.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, pada 23 Mac lalu kira-kira pukul 10 malam, polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di Taman Bukit Angkasa, sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 23 tahun keesokan harinya di kawasan surau, di Gasing Indah, Pantai Dalam kira-kira 12.30 pagi.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata, polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai membeli komputer riba milik wanita itu, pada 25 Mac di Flat Program Perumahan Rakyat (PPRT) Kerinchi.

Wan Abdul Bari berkata, pada 26 Mac pula, polis menyerbu sebuah apartmen di Pantai Indah dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Changkat Jering, Perak.

Wan Abdul Bari berkata, pada hari yang sama, polis menahan seorang lagi suspek berusia 22 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kad kredit di kawasan perumahan Permai, Pantai Dalam dan merampas sebuah komputer riba jenama Acer. – Bernama

No comments:

Post a Comment