26 March 2010

MIC harap Palanivel calon BN tawan semula Hulu Selangor

KUALA LUMPUR 26 Mac - MIC sudah bersedia untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor yang kini kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi.

MIC turut berharap dapat menurunkan semula Datuk G.Palanivel bagi menawan semula kerusi yang pernah diwakilinya itu selama tiga penggal sebelum ini.

Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, parti itu akan mencadangkan nama Palanivel kepada Barisan Nasional (BN) dan menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN untuk membuat keputusan.

"Datuk Palanivel mempunyai peluang baik untuk menang kerana beliau telah berkhidmat dengan baik di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC kalah kepada Zainal Abidin dalam pilihan raya umum lepas dengan hanya 198 undi setelah menjadi wakil rakyat di situ sejak 1990.

Samy berkata, walaupun kalah, Palanivel masih membantu menyelesaikan masalah masyarakat pelbagai kaum di Hulu Selangor yang merupakan antara kubu kuat BN yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Beliau menegaskan, adalah menjadi matlmat BN sekarang untuk menang dan jika boleh, menang dengan selesa. - Bernama

No comments:

Post a Comment