25 March 2010

Menantu direman

KOTA BHARU: Menantu kepada Shamsuddin Che Deraman, 41, atau nama jolokannya Sudin Ajaib yang dikenali sebagai Azhar direman tiga hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Penahanan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan polis Kelantan sebaik pihak berkuasa mendapat maklumat lokasi suspek di Stesen Kereta api Pasir Mas, dekat sini.

Tindakan itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, yang memberitahu penahanan suspek dilakukan kira-kira jam 6.50 petang kelmarin.

“Suspek berusia 34 tahun ditahan sebaik polis Kelantan memperoleh maklumat mengenainya daripada orang awam. “Dia dibawa ke Mahkamah Majistret pagi tadi (semalam) untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.

Mengikut seksyen berkenaan, suspek yang juga jemaah tabligh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kes membabitkan lelaki yang juga menantu Sudin Ajaib itu disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, di hadapan Hakim Syarie Nik Najib Che Hassan, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Bagaimanapun, defendan yang sepatutnya hadir untuk mendengar kes perintah mufarakah (dipisahkan) dan perintah tegahan mengikut Seksyen 107 Enakmen Keluarga Islam 2009 dan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah tidak hadir.

Defendan tidak hadir kerana direman mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 selepas dihadapkan di depan Pendaftar Mahkamah, Norfaezah Abdullah.

Permohonan di Mahkamah Majistret Kota Bharu itu bertujuan membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes lelaki terbabit yang mempunyai kaitan dengan perkahwinan kanak-kanak bawah umur itu.

Akhbar sebelum ini melaporkan, ibu kepada Nur Nadhirah Shamsudin dikenali Na membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu melaporkan mengenai perkahwinan antara anak perempuannya berusia 10 tahun dengan seorang lelaki berusia 30-an.

Ibu kanak-kanak itu turut membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada keluarga.

Berikutan itu, kanak-kanak perempuan itu dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) daripada lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.

Sebelum itu, Sudin Ajaib sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah yang baru berusia 10 tahun dengan rakan jemaahnya dikenali sebagai Azhar dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke markas jemaah di Kota Bharu. - Mymetro

No comments:

Post a Comment