25 March 2010

Benjy Ditahan Semula Selepas Selesai Bayar Jamin

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 31, ditahan semula tidak sampai dua jam setelah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Majistret Khamis berhubung kes dadah.
Dia ditahan ketika berada di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran jamin oleh dua orang anggota polis pada 2.50 petang sejurus sahaja ibunya, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

Seorang daripada anggota polis itu dilihat menghampiri Benjy dan memegang tanganya sambil menyatakan dia akan ditahan semula untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Benjy, yang kelihatan terpinga-pinga, hanya sempat bersalaman dengan ibunya tanpa berbual apa-apa dengan Azean yang juga kelihatan amat terkejut.

Azean dengan suara gementar sempat bertanya kepada polis mengapa Benjy ditahan dan hanya mampu mengalirkan air mata melihat Benjy dibawa pergi.

Adik Benjy, Elza Irdalyna yang turut berada di situ, menjerit ke arah anggota polis berkenaan sambil menangis tetapi kemudiannya dipujuk oleh Azean.

Azean yang kelihatan lemah memberitahu pemberita bahawa beliau kesal dengan cara layanan polis kerana tidak memberi penerangan yang sewajarnya.

"Beberapa kali Kak Yan tanya kenapa anak saya ditangkap tetapi tiada seorangpun yang beritahu kenapa. Tidakkah seorangpun anggota polis di situ berfikir bahawa Kak Yan ni adalah ibunya yang sedang sakit. Tak boleh beritahu elok-elok ke," katanya.

Azean yang menangis sepanjang temubual itu berkata beliau kini kebingunan.

Peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, berkata anak guamnya itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan beliau berharap akan dapat berjumpa dengan Benjy tanpa sebarang sekatan.

Majistret Hafizza Sauni pagi tadi membenarkan Benjy dijamin sebanyak RM2,000 setelah pelakon itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamin (syabu) seberat 0.24 gram.

Anak lelaki tunggal Azean itu, yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mengedar dadah, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment