28 March 2010

Dr. M Nasihat Najib Jangan Ketepikan Perkasa

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun supaya tidak mengenepikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana ia kini memiliki kuasa pendesak yang perlu diambil kira.

Bekas Perdana Menteri berkata, Najib sepatutnya mendengar pandangan yang dikemukakan oleh Perkasa yang merupakan lidah orang Melayu masa kini.

"Dengar pandangan mereka sama ada ia waras atau tidak. Kegagalan mendengar mungkin mengakibatkan kehilangan undi mereka.

"Sebagaimana kerajaan mendengar rungutan komuniti lain, rungutan orang Melayu juga patut diambil kira," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Perkasa yang pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Lebih 10,000 hadir pada majlis perasmian mesyuarat agung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya tidak mempedulikan orang Melayu kerana mereka adalah pengundi utama sambil menyatakan keyakinannya ke atas keupayaan Najib mengembalikan kegemilangan negara sebelum ini.

Kata beliau, tumbuhnya pelbagai NGO Melayu seperti Perkasa kebelakangan ini yang menyentuh soal politik kerana kepercayaan terhadap Umno yang selama menjadi juara pembela bangsa semakin terhakis.

"Lebih 50 tahun, kita tidak melihat kewujudan NGO seperti itu sebab selama itu Umno menjuarai isu-isu Melayu," ujarnya sambil mengaskan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak pernah mengalang pembangunan.

Beliau menyalahkan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi sangat lemah.

Beliau mendedahkan terdapat sesetengah pihak yang menasihatkanya supaya jangan hadir ke program Perkasa kerana didakwa akan merosakkan reputasi dan nama baiknya.

"Perkasa bukan ekstremis atau kumpulan yang ganas, objektif mereka ialah mempertahankan dan melindungi hak orang Melayu," jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, ekonomi Malaysia tidak mencatatkan pertumbuhan yang signifikan sejak lima tahun kebelakangan ini sedangkan isu perkauman hangat diperdebatkan.

"Isu sensitif melibatkan agama dan perkauman sepatutnya dibincangakan secara tertutup semata-mata untuk kestabilan dan pertumbuhan," kata beliau.

Beliau turut menegur tuduhan-tuduhan liar yang mendakwa bahawa orang melayu mengaut semua keuntungan daripada biasiswa hinggalah projek kerajaan.

Terdahulu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menempelak DAP berkaitan propaganda 'Malaysian Malaysia'.

Selain itu, beliau turut menyelar parti Islam yang yang 'menjual' agama untuk kepentingan diri sendiri.

Turut dikriti beliau, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cuba mendapatkan sokongan pihak asing untuk mengutuk Malaysia berkaitan perbicaraan kes liwatnya.

"Saya menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri dan menekankan bahawa Perkasa bukan parti politik dan saya amat berharap Umno dapat kembali ke landasan asal iaitu mempertahankan orang Melayu," tegasnya. - Mstar

* Perkasa dilihat pertubuhan yang anti Cina. Sokongannya terhadap UmnoBN akan menyebabkan kaum bukan Melayu tidak menyokong UmnoBN pada pilihanraya akan datang.

No comments:

Post a Comment