KUALA LUMPUR, 29 Mac — Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin mendedahkan isu fahaman wahabi yang turut dikaitkan denganya kebelakangan ini sengaja “direka oleh pihak-pihak tertentu”, yang bimbang dengan kebangkitkan golongan berpegangan sederhana.
Tokoh agama ini yang dianggap berpendirian terbuka dalam soal-soal menyentuh Islam juga mendakwa, berpegangan fahaman wahabi adalah antara label yang dilontarkan oleh mereka kononnya seseorang itu terlalu liberal dan moderat dalam mengembangkan Islam.
Tegas beliau, fenomena ini bukan sahaja dialami di negara ini, malah juga disaksikan di peringkat antarabangsa.
“Ini (fahaman wahabi) direka oleh satu golongan tertentu.
“Ia bukan dituju kepada saya seorang sahaja tetapi ke atas sesiapa saja yang cuba membawa pegangan liberal dan terbuka,” kata beliau ketika ditemui selepas forum sempena Seminar Islam Anti Terrorism di sini malam tadi.
Kata Asri (gambar), beliau berpendapat harus menggunakan peluang yang ada untuk membawa keterbukaan bukannya mempersendakan mana-mana pihak yang hendak membawa pembaharuan.
Bagaimanapun Asri yang dilarang menyampaikan kuliah agama oleh beberapa negeri dan tidak diberi tauliah, antaranya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, usaha melabel seperti ini bukan sesuatu yang baru.
“Ini pernah disaksikan pada masa-masa lalu, di mana tokoh dan sarjana yang membawa pembaharuan dilabel dan dituduh sebagai liberal, anti-Islam dan sebagainya,” kata Asri yang kini berhadapan dengan kes mahkamah menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di Selangor.
Asri menafikan menyebarkan amalan-amalan wahabi diamalkan di Saudi di negara ini.
“Saya tidak berbuat demikian,” katanya.
Awal November lalu, Asri ditahan oleh Jais kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Asri sebelum ini pernah beberapa kali menafikan terlibat dalam amalan fahaman wahabi.
Beberapa Jabatan Agama Islam negeri berpendirian tegas tidak memberi tauliah dakwah agama atas alasan bagi mengelakkan penyebaran fahaman wahabi.
Sebagai contoh, Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin pada awal November lalu pernah berkata, setiap penceramah agama perlu mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Johor untuk menyampaikan ceramah di negeri itu.
Tegas Tahrir, ia adalah peraturan yang wajib dipatuhi bagi memastikan ceramah yang disampaikan tidak bercanggah daripada pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.
Selain itu kata beliau, peraturan tersebut bukan untuk menyekat mana-mana aktiviti dakwah, sebaliknya bagi membendung sebarang usaha untuk mengembangkan fahaman wahabi yang boleh menyebabkan perpecahan umat Islam.
Tahrir menjelaskan, usaha-usaha mengembangkan fahaman wahabi di negara ini perlu ditolak dan dibendung kerana ia akan menyebabkan perbalahan ummah kecuali di satu negeri.
“Kita tidak menyalahkan dia (fahaman wahabi) tetapi ia hanya sesuai di negeri tertentu begitu juga fahaman Syiah sesuai di negara tertentu.
“Rantau ini sesuai dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah bermazhab yang selama ini kita amalkan maka sesiapa tak perlu kacau,” tegasnya.
Beliau berkata, pegangan Al Sunah bermazhab Syafie selama ini berjaya membawa kepada suasana tenang, hormat-menghormati dalam soal hukum fiqah manakala dalam soal tauhid, ia dipelopori Abu Hassan al-Asy'ari dan Abu Mansur al-Maturidi yang memberi impak besar kepada masyarakat Islam negara ini.
Tahrir berkata, wahabi antaranya mencerca amalan membaca surah Yasin, tahlil dan talkin yang dikatakan bidaah, maka keadaan itu akan mengelirukan umat Islam.
Justeru, Tahrir berkata, umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengembangkan fahaman wahabi di negara ini. - www.themalaysianinsider.com
* Ada pula pihak yang cuba menafikan fahaman wahabi kerana label itu menghalang pengembangan fahaman tersebut yang sudah terbukti memecah belahkan masyarat Melayu Islam yang sedia berpecah ini. Golongan anti hadith, fahaman syiah di kalangan profesional, yang terbaru membela anjing sebagai hobi sedang mengambil kesempatan di atas kelekaan...
No comments:
Post a Comment