JOHOR BAHARU 15 Feb. - Ketua Wanita UMNO Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain berkata, pihaknya memandang serius insiden pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlanjur.
Menurut beliau, pergerakan itu meminta mereka yang sudah terlanjur supaya tidak mengambil jalan singkat dengan melakukan pembuangan bayi sebaliknya menghubungi Wanita UMNO Johor bagi mendapatkan bantuan.
"Mereka jangan takut-takut untuk menghubungi Wanita UMNO Johor bagi membolehkan kami menghulurkan bantuan dan seterusnya menyelesaikan segala permasalahan yang mereka hadapi,” katanya.
Katanya lagi, Wanita UMNO Johor dan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan tempat yang sesuai untuk menempatkan ibu serta bayi bagi menghindari mereka daripada terjebak dalam kegiatan pembuangan bayi.
Sharifah berkata demikian sebagai mengulas kegiatan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini termasuk kejadian penemuan mayat bayi lelaki yang sudah terbakar dalam sebuah tong sampah di Kuala Krai, Kelantan, dua hari lepas. - Bernama
No comments:
Post a Comment