08 February 2010

Taliban tolak tawaran damai

KABUL 7 Feb. - Pemberontak Taliban di Afghanistan hari ini menolak tawaran terbaru Presiden Hamid Karzai untuk berdamai dengan mereka.

Taliban menyifatkan tawaran Karzai itu sebagai 'sia-sia' dan 'melucukan' tetapi berkata, mereka bersedia untuk berunding bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan sebuah negara yang melaksanakan undang-undang Islam.

"Ini bukanlah kali pertama rejim Kabul dan negara-negara penceroboh mahu mengaburkan mata masyarakat dunia dengan mengumumkan perdamaian dengan kata-kata tetapi dalam amalan sebenarnya, melakukan persiapan untuk berperang," menurut satu kenyataan yang disiarkan dalam bahasa Inggeris di laman web Taliban Afghan, alemarah.info.

Pemberontak itu menuduh kerajaan Karzai dan kuasa Barat mengenakan beberapa syarat yang lebih bertujuan untuk memarakkan peperangan dan bukan untuk menamatkannya.

"Misalnya, mereka menuntut mujahidin meletakkan senjata, mempersetujui perlembagaan dan menolak keganasan. Tiada sesiapa pun boleh menganggap tawaran ini sebagai perdamaian," menurut kenyataan itu.

Karzai pada persidangan mengenai Afghanistan di London pada bulan lepas mengulangi seruan perdamaiannya kepada 'saudara-saudara kami yang kecewa' dalam pergerakan Taliban.

Beliau selepas itu melawat Arab Saudi untuk meminta para pemimpinnya membantu memujuk kumpulan militan tersebut supaya menerima tawaran perdamaian beliau.

Pada persidangan di London, kerajaan-kerajaan Barat meluluskan kenyataan rasmi yang antara lain menyatakan, rakyat Afghan yang menolak keganasan dan menerima perlembagaan hendaklah dibenarkan menyertai proses politik, sekali gus menandakan sokongan terhadap usaha perdamaian Karzai.

Namun kenyataan Taliban itu menyifatkan sokongan Barat tersebut sebagai helah untuk meyakinkan pengundi antiperang di Barat bahawa para pemimpin mereka mahukan perdamaian, sedangkan mereka menjalankan persiapan untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Taliban di wilayah Helmand.

Taliban juga mendakwa syarat-syarat perdamaian yang dikenakan oleh Karzai sebagai sia-sia kerana pengaruh pejuangnya semakin merebak. - Reuters

No comments:

Post a Comment