08 February 2010

Enam sekeluarga rentung dalam kemalangan dikenal pasti

SEREMBAN 8 Feb. – Polis mengenal pasti enam mangsa sekeluarga yang rentung dalam satu kemalangan di Km 252, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang menghala ke selatan dekat sini pagi tadi.

Mereka ialah Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Sdn. Bhd. Suhaimi Ghazali, 41; isterinya Nor Fadilah Senin, 32; serta empat orang anak mereka, Nurul Natashahuda, 11; Mohd Daniel Iskandar, 10; Mohd Hanif Iman, 6; dan Adi Putra, 2.

Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abdul Halil Hamzah berkata, mayat kesemua mangsa dituntut oleh keluarga mereka hari ini untuk dibawa ke rumah keluarga di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, Melaka.

Kesemua mangsa dijangka dikebumikan hari ini.

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham Suhaimi, Nowawi Johari, 60, yang ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar di sini berkata, beliau mendapat berita itu apabila salah seorang kakitangan Fadhilat Herbs menghubunginya pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

"Mereka sekeluarga bertolak dari Melaka untuk bercuti dan berjumpa stokis di Bukit Merah Lake Town Resort, Perak pada Sabtu lepas, dan kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Melaka.

"Kemalangan itu sungguh menyayat hati kerana yang meninggal dunia melibatkan Suhaimi, isteri dan kesemua empat orang anak mereka. Kali terakhir saya jumpa arwah Suhaimi Jumaat lepas,” kata beliau.

Allahyarham Suhaimi adalah pengasas dan pengarah urusan Fadhilat Herbs Sdn. Bhd., manakala isterinya adalah pengarah kewangan syarikat itu.

Kilang syarikat itu yang mempunyai 35 orang petugas, terletak di Teluk Mas, Melaka dan telah beroperasi sejak dua tahun lepas. – Bernama

Sebelum ini

Enam sekeluarga rentung naik BMW pulang bercuti

SEREMBAN 8 Feb. – Enam sekeluarga yang dalam perjalanan bercuti mati rentung dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 252.3, Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Plaza Tol Senawang awal pagi ini.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah memberitahu, kes pertama Ops Sikap ke-21 di negeri ini berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi ketika kereta jenis BMW 7 Series yang dinaiki keluarga malang itu merempuh sebuah treler yang rosak di lorong kecemasan.

“Difahamkan kesemua mangsa ketika itu dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung. Mereka dipercayai dari Kuala Lumpur untuk ke selatan tanah air,” katanya.

Identiti semua mangsa belum dikenal pasti kerana semua pengenalan dalam kenderaan itu turut hangus. – Utusan

No comments:

Post a Comment