PENDANG: Pemimpin-pemimpin Umno terutama di peringkat bahagian, digesa supaya terus mendampingi rakyat kerana sudah ada petanda yang menunjukkan Kedah akan kembali ditawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata amat penting untuk menjuarai rakyat dengan cara turun hingga ke peringkat akar umbi untuk mendengar suara, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
"Semangat perubahan sudah ada di Kedah dan pemimpin pastikan turun ke bawah untuk pastikan BN dapat rampas kembali (pentadbiran) negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Juara Rakyat Parlimen Pendang, di Kompleks Paya Mat Insun, dekat sini hari ini.
Beliau berkata tanda perubahan dapat dilihat dengan jelas kerana setiap program yang dianjurkan BN khususnya Umno seperti Program Juara Rakyat, mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan rakyat.
Program Juara Rakyat dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Rawang, Selangor, 9 Januari lepas sebagai tanda Umno menerima isyarat daripada rakyat supaya kembali mendampingi rakyat selepas ditolak pada pilihan raya umum ke-12.
Mohd Shafie berkata sejak pakatan pembangkang memerintah negeri ini, tidak ada kemajuan yang dibawa, sebaliknya pelbagai masalah timbul seperti gangguan bekalan air dan masalah peluang pekerjaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata dalam usaha membangunkan negara, rakyat perlu bekerjasama dengan BN kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan setiap golongan terutama penduduk di luar bandar.
"Sistem pentadbiran juga sudah jauh berubah dan lebih mengutamakan rakyat... bersatulah di bawah naungan Malaysia, perlu ada semangat kekitaan untuk memainkan peranan bangunkan negara," katanya.
Di POKOK SENA, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata walaupun pilihan raya umum masih jauh namun rakyat perlu bersatu padu manakala setiap anggota Umno pula perlu berkeyakinan bagi memastikan Negeri Kedah khususnya Parlimen Pokok Sena kembali ditawan oleh BN.
"Sekarang ini bukan masanya untuk kita bergaduh dan menuding jari kepada sesiapa atas kegagalan kita dahulu, tetapi kita perlu bangkit dan perbaiki kelemahan supaya masyarakat sentiasa menyokong kita," katanya kepada pemberita selepas program Juara Rakyat dan melawat warga emas yang lumpuh di Kampung Mata Air dekat sini hari ini. - BERNAMA
* Jangan mimpi tawan semula Kedah jika rakyat terus ditekan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment