12 February 2010

Suami sebabkan kematian isteri `curang' dipenjara sembilan tahun

SHAH ALAM 11 Feb. – Demi menyelamatkan rumah tangga, seorang pekerja di sebuah ladang di Ipoh, Perak sanggup membawa isterinya berpindah ke Hulu Selangor selepas mengetahui wanita kesayangannya itu berlaku curang dengan seorang lelaki warga Bangladesh.

Namun hati siapa yang tidak luluh apabila selepas seminggu di tempat baru, dia sekali lagi ‘menangkap’ isterinya sedang melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki warga Bangladesh lain di belakang rumah.

Kerana terlalu marah dan kecewa, K. Alagan, 60, dengan secara tidak sengaja telah mencekik leher S. Ellammal, 39, ketika mereka sedang bertengkar sehingga wanita itu terkulai.

Hanya setelah bangun pada waktu pagi, warga emas itu mendapati isteri yang disangkakan pengsan dan terbaring di sebelahnya telah pun meninggal dunia.

Selepas kesemua fakta kes diambil kira, Alagan yang sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh isterinya mendapat peluang kedua apabila pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan.

Terselamat daripada tali gantung, tertuduh dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Ellamal hampir dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Badariah Sahamid memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa dari tarikh tangkap pada 23 September 2008 iaitu pada hari kejadian.

Dalam penghakiman ringkas, beliau berkata, mahkamah telah mengambil kira wujudnya provokasi dan tiada kecederaan lain pada tubuh melainkan kesan cekik yang menyebabkan kematian mangsa.

Kata beliau, selain tiada rekod jenayah, tertuduh juga tidak cuba melarikan diri, mahupun menyembunyikan atau memusnahkan mayat mendiang sebaliknya menunggu sehingga polis tiba.

Alagan mengaku menyebabkan kematian Ellammal di belakang rumah No. 67-A, Ladang lima belas, SKL Gedangsa, Hulu Selangor dekat sini antara pukul 2 dan 7 pagi, 23 September 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. - utusan

No comments:

Post a Comment