12 February 2010

Seorang lagi pengarah Island Red Cafe didakwa

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Seorang lagi pengarah syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tiga tuduhan menipu pelabur melibatkan jumlah RM16.1 juta.

Ong Tong Swan, 33, yang berjaya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam sebelum dia menaiki pesawat ke Singapura, mengaku tidak bersalah terhadap setiap pertuduhan tersebut.

Dua hari lalu, dua beranak yang juga merupakan pengarah syarikat tersebut turut didakwa atas tuduhan yang serupa.

Teow Wooi Huat, 44, selaku pengarah eksekutif dan anak lelakinya, Teow Chee Chow, 21, sebagai pengarah syarikat masing-masing mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan.

Pada prosiding hari ini, Tong Swan didakwa bersubahat dengan Wooi Huat untuk memperdayakan 93 individu supaya membuat pelaburan dalam program 'Island Red Cafe' yang menyebabkan wang berjumlah RM1,040,400 dibayar kepada syarikat tersebut.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Bagi tuduhan kedua, Tong Swan didakwa sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) akta tersebut iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM15,061,800 ke dalam akaun syarikat itu bagi menyertai program 'Island Red Cafe' untuk tempoh lima tahun.

Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta tersebut.

Tertuduh turut didakwa menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat tersebut melalui satu program yang dikenali sebagai "Program Island Red Cafe", walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual beli saham.

Jika sabit kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 363(5) akta yang sama, mereka boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 1 Januari 2008 dan 28 Februari 2009 di syarikat tersebut yang beralamat di 5M, Jalan Pandan Indah 1/23B, Pandan Indah di sini.

Hukuman bagi setiap tuduhan itu ialah denda maksimum RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Rezy Izwan Ramli menawarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.

Menurut Rezy, jumlah yang sama telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen terhadap dua tertuduh sebelum ini.

Peguam bela, Raymond Yap yang mewakili Tong Swan bagaimanapun membantah jumlah tersebut atas alasan anak guamnya tidak terlibat menguruskan syarikat tersebut secara langsung.

Hakim Azwarnida Affandi mengekalkan jumlah RM100,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan kes itu bersama-sama dua kes terdahulu. - Utusan

No comments:

Post a Comment