KUALA LUMPUR 14 Feb. - Polis sedang mempergiatkan gerakan memburu sembilan ketua ah long yang sebahagiannya didapati bertindak ganas dan tidak berperikemanusiaan termasuk kepada ahli keluarga mangsa.
Walaupun ada daripada mereka kini melarikan diri ke negara jiran, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, ketua ah long itu 'boleh melarikan diri tetapi tidak boleh bersembunyi selama-lamanya.'
Beliau yang sedih dengan perbuatan ganas ah long terhadap sebuah keluarga di Setapak di sini semalam berkata, kumpulan berkenaan akan diburu habis-habisan supaya perbuatan ganas mereka dapat dibanteras.
''Semua pihak tahu bahawa dalam kes ah long ini, saya tidak akan berkompromi dan dalam kes terbaru semalam jelas menunjukkan mereka ini memang tidak ada belas ihsan, tidak ada simpati dan tidak ada perikemanusiaan.
''Setakat ini empat orang suspek telah ditahan. Jadi dalam kes terbaru ini kita akan terus menjejaki, mencari dan menyiasat mereka yang lain. Kita kemudian akan dakwa mereka. Kita akan heret mereka ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Beliau mengulas kejadian membakar kereta milik seorang wanita yang dipercayai dilakukan oleh ah long setelah suaminya gagal membayar hutang dan ia berlaku sehari sebelum masyarakat Tionghua menyambut Tahun Baru Cina.
Mangsa sebelum itu singgah di rumah ibu mertuanya di Taman Sri Rampai, Setapak di sini pada pukul 1.30 pagi selepas selesai membeli belah untuk persiapan menyambut Tahun Baru Cina.
Angkara melibatkan tindakan ganas ah long sering dipaparkan di media hingga ke satu peringkat golongan itu sanggup bertindak kejam seperti merantai dan mengurung peminjam yang gagal melunaskan pinjaman.
Lebih malang lagi keluarga mangsa turut dijadikan sasaran perbuatan ganas ah long.
Keadaan itu menyebabkan Hishammuddin mengisytiharkan perang ke atas ah long kerana perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan terhadap peminjam yang gagal melunaskan pinjaman serta ahli keluarga selain mengenakan faedah berlipat kali ganda.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata, kejadian semalam amat meninggalkan kesan kepada dirinya kerana ia berlaku sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
''Melakukannya sehari sebelum Tahun Baru Cina memang tidak ada perikemanusiaan, lebih-lebih lagi terhadap mangsa yang tidak berdosa," katanya.
Beliau berkata, kejadian itu menjadi bukti bahawa keluarga pihak yang berhutang turut terheret menjadi mangsa kepada kekejaman ah long.
''Saya dimaklumkan suami mangsa telah melarikan diri sejak September tahun lepas. Kali ini tak dapat suami, kejar pula isteri dan keluarga.
''Perkara seperti ini kita tidak akan benarkan berterusan. Seperti mana tindakan sebelum ini mereka akan diburu sampai habis-habisan. Inilah sebabnya kita sedang memburu sembilan lagi kepala ah long," ujarnya.
Katanya, beliau telah dimaklumkan mereka yang didakwa terlibat membakar kereta itu adalah seorang Cina dan seorang India bermotosikal.
Tambahnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000. - Utusan
* Sepatutnya mereka yang menggunakan Ah-Long juga didakwa.
No comments:
Post a Comment