PUTRAJAYA, Feb 17 — Tiga orang menjalani hukuman sebatan minggu lalu, menjadi pesalah kalangan kaum wanita Islam pertama menjalani hukuman ini di bawah undang-undang Syariah kerana mengadakan hubungan seks haram.
Mendedahkan perkara itu di sini hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ketiga-tiga mereka didapati bersalah mengadakan seks haram.
Hukuman dijalankan di Penjara Kajang pada pukul 10 pagi 9 Feb lalu.
Dua daripada mereka dikenakan enam sebatan manakala yang seorang lagi menerima empat sebatan.
Salah seorang telah dibebaskan Sabtu lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, kata Hishammuddin.
Seorang lagi akan dibebaskan dalam beberapa hari lagi manakala yang ketiga Jun ini.
Dengan perkembangan ini, pihak berkuasa penjara telah menunjukkan bahawa pihaknya bersedia untuk melaksanakan hukuman sebatan ke atas kaum wanita jika diarahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Syariah.
Langkah melaksanakan hukuman ke atas wanita mencetuskan kontroversi tahun lalu selepas bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah
mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.
Tarikh pelaksanaan hukuman itu akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pihaknya perlu menunggu maklum balas daripada pertemuan itu sebelum membuat tindakan susulan.
Abdul Manan berkata Jaip telah membuat persiapan untuk melaksanakan hukuman itu.
Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebelum ini bertitah baginda bersedia menerima menghadap Kartika berhubung isu penangguhan pelaksanaan hukuman sebat itu.
Sambil merujuk kepada hukuman sebatan ke atas Kartika yang belum pun dilaksanakan, Hishammuddin berkata kes itu sengaja digembar-gemburkan kerana jelas dari segi pelaksanaan hukuman sebat itu menunjukkan pesalah tidak mengalami kecederaan.
“Apa yang digembar-gemburkan dalam kes Kartika itu menimbulkan kebimbangan orang ramai, saya harap janganlah hanya fokus kepada satu kes yang belum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Hishammuddin berkata seorang daripada tiga pesalah wanita berkenaan telah dibebaskan pada Ahad lepas, pesalah kedua akan dibebaskan dalam tempoh beberapa hari lagi dan pesalah ketiga dibebaskan pada Jun nanti.
Hishammuddin berkata wakil dari kementeriannya turut hadir semasa pelaksanaan hukuman dibuat bersama 13 orang lagi antaranya Pengarah Jabatan Agama Wilayah, Pegawai Jabatan Agama Wilayah dan wakil dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Berdasarkan temu bual dengan tiga pesalah wanita itu, beliau berkata didapati bahawa mereka insaf, reda dan bertaubat dengan hukuman yang diterima walaupun sebatan tersebut tidak mendatangkan kesan luka.
“Diharapkan isu itu tidak disalahertikan sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman itu adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan agar mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik,” katanya. - Malaysianinsider
* Sebat senyap-senyap lebih-lebih lagi dengan jumlah yang sangat sedikit, bagaimana hendak mendidik masyarakat? Bunuh bayi semakin meningkat ni... Takkan hendak tunggu negara kita ditimpa bala. Jalan raya yang memakan korban purata 10 orang sehari juga boleh dianggap sebagai bala.
No comments:
Post a Comment