05 February 2010

Perbicaraan Kes Anwar Masuk Hari Ketiga

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk hari ketiga hari ini dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini.
Prosiding bermula pada 9.51 pagi dengan Mohd Saiful memberi keterangan mengenai sampel-sampel yang diambil daripada badannya.

Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Anwar, 63, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Sementara itu, sebanyak dua trak meriam air Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan tiga trak yang membawa anggota masuk ke pekarangan mahkamah.

Ia sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya demonstrasi yang didakwa akan diadakan selepas solat Jumaat di pekarangan mahkamah oleh penyokong Anwar.

Pasukan polis dan juga wakil media turut memenuhi pekarangan Kondominium Desa Damansara bagi menunggu rombongan mahkamah bagi membuat lawatan kedua di lokasi kejadian didakwa berlaku. - Mstar

No comments:

Post a Comment