24 February 2010

Pembunuhan pemandu pejabat konsul malaysia diselubungi misteri

MELBOURNE 22 Feb. - Kematian pemandu di Jabatan Penuntut Malaysia akibat ditikam dan dibelasah dengan tukul di Sydney, masih diselubungi mistri.

Polis berkata, ada kemungkinan, Mohd. Shah Saemin, 43, menjadi mangsa pergaduhan di jalan raya pada pagi Isnin.

Saksi berkata, mereka melihat dua lelaki mengejar Mohd. Shah di seberang sebatang jalan raya, sebaik saja mangsa sampai di rumahnya di Leichhardt, sejurus selepas tengah malam Isnin.

"Kami percaya telah berlaku satu kemalangan jalan raya...sejurus sebelum serangan itu berlaku," kata Pemangku Supritendan Shayne Woolbank seperti yang dipetik agensi berita Australian Associated Press.

Ditanya sama ada serangan itu berpunca daripada pergaduhan di jalan raya, Woolbank berkata: "Ini antara kemungkinannya". Penyerang terbabit kali terakhir dilihat meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan berwarna hitam dan polis mengesahkan seorang daripada mereka berambut kerinting.

Imej tentang pembunuhan itu, yang disiarkan di televisyen Australia dan akhbar Sydney hari ini, menunjukkan seorang petugas wanita di pejabat konsul Malaysia, menjerit dan menangis.

Anggota pasukan bantuan kecemasan dipanggil membantu mangsa, yang akhirnya meninggal dunia walaupun para pegawai polis memberi bantuan pernafasan menggunakan kaedah CPR kepadanya.

"Pada peringkat ini, kami percaya dia cedera akibat beberapa kesan tikaman serta luka dan calar," kata Woolbank.

Beliau juga mengesahkan tukul mungkin digunakan dalam serangan itu.

"Tidak syak lagi, ini satu serangan ganas," katanya.

Mohd. Shah kini adalah warganegara Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Pejabat Konsul Malaysia di Australia, Dr. Mohd Nasir Abu Hassan berkata, petugas di pejabat itu terkejut dengan kejadian berkenaan.

"Dia sangat baik dan tidak banyak cakap. Dia seorang yang sangat tenang dan amat patuh pada arahan," katanya.

Dr. Mohd. Nasir berkata, persiapan sedang dibuat bagi menghantar pulang mayat mangsa kepada keluarganya di Malaysia.

Beliau berkata, Mohd. Shah telah menetap di Australia selama 10 tahun dan bertugas dengan pejabat berkenaan sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataannya hari ini, berkata kementerian berkenaan telah dimaklumkan tentang kematian Mohd. Shah, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada keluarga dan waris mangsa.

"Mereka memohon agar mayat Mohd. Shah dibawa pulang untuk dikebumikan di Melaka," kata beliau.

Anifah berkata, Mohd. Shah telah melepaskan taraf warganegara Malaysianya pada 2004 dan menjadi warganegara Australia serta tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lepas.

"Kementerian ini mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd. Shah atas pemergian Allahyarham dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya melalui pejabat Suruhanjaya Tinggi kita di Australia," katanya.

"Saya menggesa polis Australia dan pihak berkuasa berkenaan di negara itu supaya menjalankan penyiasatan penuh terhadap kes ini bagi memastikan sama ada kejadian berkenaan merupakan kes samseng jalanan, bukan jenayah disebabkan kebencian terhadap kaum," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment