24 February 2010

Bapa mahu pihak berkuasa siasat kematian anak

MELAKA 22 Feb. - Bapa kepada pemandu Konsulat Malaysia yang mati ditikam di Sydney awal pagi tadi, mahu pihak berkuasa di negara itu menyiasat punca sebenar kematian anaknya.

Seamin Mongin, 70, pada masa yang sama juga berharap kedutaan Australia di Malaysia dapat menjelaskan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Menurutnya, ini kerana dia hanya dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Australia yang anaknya itu, Mohd. Shah, 43, meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sydney.

"Kira-kira pukul 3 pagi tadi, seorang kenalan arwah di Sydney, menghubungi saya dan memaklumkan arwah terlibat dalam kemalangan. Lima jam selepas itu, seorang pegawai daripada kedutaan kita juga memaklumkan perkara sama.

"Mereka mengucapkan takziah dan bertanya sama ada mahu jenazah dikebumikan di sana (Australia) atau di Malaysia. Saya cakap mahu dikebumikan di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Tambak Paya, di sini hari ini.

Bernama hari ini melaporkan mangsa yang telah mendapat kerakyatan Australia dan tinggal di Sydney sejak kira-kira tiga tahun lalu mati ditikam dan dihentak menggunakan tukul.

Kejadian dipercayai dilakukan oleh pembuli jalanan ketika mangsa tiba di rumahnya di Marion Street yang terletak di pinggir bandar sebelah barat Leichhardt.

Menurut Seamin, dia hanya mengetahui kisah sebenar menimpa anak kedua dari lima beradik itu apabila diberitahu oleh anak saudaranya yang terbaca mengenai berita kematian tersebut di Internet tengah hari ini.

"Saya berharap pihak berkuasa di sana dapat menyiasat dan mencari pembunuhnya," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Tambahnya, anaknya itu telah menetap di Australia sejak hampir 17 tahun lalu dan pernah bekerja di rumah kebajikan sebelum menjadi pemandu konsulat sejak kira-kira lima tahun lalu.

"Arwah merupakan seorang anak yang baik, penyayang dan sentiasa telefon dan bertanyakan khabar kami di sini.

"Kali terakhir kami sekeluarga berjumpa dengannya adalah pada Aidilfitri tiga tahun lepas," katanya sambil menambah arwah telah berkahwin dengan wanita Australia sejak 17 tahun lalu tetapi telah lama berpisah dan tidak mempunyai anak.

Sementara itu, Kementerian Luar akan berkerjasama dengan kerajaan Australia untuk membawa pulang jenazah Allahyarham Mohd. Shah secepat mungkin sekiranya keluarganya berhasrat berbuat demikian.

Timbalan Menterinya, A. Kohilan Pillay ketika dihubungi hari ini berkata, malah wakil kementerian itu telah dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai berita tersebut.

Ditanya mengenai siasatan awal kes tersebut, beliau berkata, kementeriannya menyerahkannya kepada polis negara itu untuk tindakan lanjut. - Utusan

No comments:

Post a Comment