KUALA LUMPUR, Feb 17 — Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang mengecam kepimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin hari ini.
Semalam rakan sejawatannya dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menerima surat yang sama dengan diberikan tarikh iaitu esok dan 23 Feb untuk menghadap lembaga disiplin.
Bagaimanapun beliau tidak akan menghadap lembaga disiplin kerana perlu berada di Korea Selatan untuk menyertai persidangan kepimpinan antarabangsa yang bermula esok.
“Saya baru menerima surat tunjuk sebab, dengan merujuk kepada Fasal 27 perlembagaan parti saya didakwa tidak mematuhi keputusan parti, tidak berkelakuan baik, merosakkan nama parti dengan mengkritik pemimpin parti dan komponen parti secara terbuka,” kata beliau dalam teks SMS yang dihantar kepada The Malaysian Insider lewat petang ini.
Lembaga disiplin menetapkan 23 Feb dan 6 Mac untuk mendengar kes Tan.
“Saya diberikan tempoh lima hari untuk memberi penjelasan bertulis,” katanya.
Tan dan Zulkifli secara terbuka menyokong Zahrain yang menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai “cauvinis, diktator dan berfikiran komunis.”
Selain Tan dan Zulkifli turut diputuskan untuk dirujuk kepada lembaga disiplin ialah Zahrain, bagaimanapun beliau telah keluar PKR berkuat kuasa Jumaat lalu.
Susulan kenyataan Zahrain itu, Tan juga pernah menyifatkan Lim, Setiausaha Agung DAP sebagai “seorang pemimpin tiada kelas” dengan selalu mengetepikan wakil rakyat PKR dalam proses membuat keputusan.
Beliau juga mendakwa kerajaan negeri pimpinan Lim enggan menyediakan peruntukan kewangan kepada ahli-ahli Parlimen PKR di Pulau Pinang.
Ekoran keputusan lembaga disiplin mengeluarkan surat tunjuk sebab, Tan memberitahu beliau selalu beranggapan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat merupakan mereka yang terbuka untuk dikritik.
“Hari ini mereka kelihatan tidak boleh disentuh langsung, tidak boleh dipersoalkan.
“Jika bercakap benar boleh merosakkan parti, jadi parti sendiri tidak boleh dipersoal, tapi saya bukan begitu,” katanya.
Sambil mengatakan bahawa tidak bimbang dengan keadaan itu, Tan memberitahu, beliau akan menghantar penjelasan kepada lembaga disiplin dalam tempoh dua hari lagi.
“Bagaimanapun saya masih berpegang pada pendirian saya,” katanya.
“Saya menggesa pemimpin-pemimpin saya agar melihat sama ada kritikan saya ke atas Lim adakah betul ataupun meragukan. Tanpa siasatan sedemikian, ia tidak adil kepada saya,” katanya. - Malaysianinsider
No comments:
Post a Comment