27 February 2010

Lori tak sedar seret mayat

BUKIT BERUNTUNG: Hajat seorang anggota tentera, Isnin Sharif, 22, untuk pulang bercuti sempena Maulidur Rasul bersama keluarga di Muar, Johor tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 433, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di sini, semalam.

Kejadian jam 1 pagi itu berlaku apabila mangsa melanggar belakang sebuah lori sebelum motosikalnya terbabas lalu terbalik. Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata berikutan itu mangsa diseret beberapa meter apabila pemandu lori berkenaan meneruskan perjalanan tanpa menyedari kejadian itu. Katanya, sebuah lori di belakang kenderaan itu terpaksa mengejarnya kira-kira 500 meter bagi memaklumkan kejadian itu kepada pemandu berkenaan.

“Mangsa dipercayai bekerja sebagai anggota tentera di sebuah kem di Taiping, Perak meninggal di tempat kejadian. Dia menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke kampungnya. “Pasukan penyelamat Projek Lebuhraya Utara-Selatan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas kejadian bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas. Mereka menutup satu laluan di situ,” katanya. Husin berkata, mangsa dipercayai menunggang terlalu laju menyebabkan berlaku rempuhan kuat sebelum terjatuh atas jalan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat. - Mymetro

No comments:

Post a Comment