18 February 2010

Kenyataan Anwar disokong negara luar hanya syok sendiri

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sokongan yang diterima daripada beberapa pemimpin dunia dalam kes tuduhan liwatnya tidak sedikit pun boleh menggugat keputusan mahkamah dan pemikiran rakyat negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang lebih kepada 'syok sendiri' selain menagih simpati daripada orang lain.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, tidak ada undang-undang yang membenarkan pihak tidak berkaitan dari negara luar sewenang-wenangnya mencampuri urusan perundangan negara.

"Kita tidak tahu apa pendirian sebenar pihak luar itu, kita tidak tahu cerita sebenar. Itu hanya kenyataan Anwar, oleh itu jangan ambil kisah.

"Kalau Anwar boleh dapat sokongan mereka, kita juga boleh buat perkara sama, namun untuk apa? Kita profesional, kita tahu semua tindakan itu telah melebihi undang-undang,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar ketika menghadiri Forum Dunia Islam-Amerika Syarikat di Doha, Qatar baru-baru ini mendakwa mendapat sokongan daripada Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogen dan ulama terkenal, Prof Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam kes liwat membabitkannya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang hari ini.

Sementara itu, bagi Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just World Movement), Dr. Chandra Muzaffar, sokongan yang dicanang Anwar itu bukanlah 'inti cerita' utama yang mahu diketahui rakyat.

"Persoalan utamanya bukan sama ada pemimpin itu sokong dia atau tidak. Kita mahu tahu apa yang benar-benar berlaku, bukan mahu tahu sokongan negara lain.

"Begitu juga apabila kita meninggal dunia, bukan sokongan pemimpin yang dinilai tetapi sama ada kita benar-benar melakukan kesalahan dan kebaikan, itu yang lebih penting," katanya yang juga bekas Timbalan Presiden PKR.

Beliau menambah, memang cara Anwar untuk memberi gambaran seolah-olah semua pihak menyokongnya.

"Kalau ada seratus, seribu orang yang menyokong Anwar sekali pun, adakah itu bermakna beliau tidak bersalah? Sama ada beliau betul atau salah, tentunya mahkamah yang tentukan.

"Selain 50 Ahli Parlimen Australia yang menghantar surat kepada kepada kita, para pemimpin itu hanya menyatakan sokongan mereka secara terus kepada Anwar. Itu pun kita tidak tahu sama ada ia benar-benar berlaku atau tidak," katanya.

Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berpendapat, tindakan Anwar menghebahkan sokongan yang diterima itu hanya untuk menutup kelemahannya.

Anwar kini jelas beliau, dibelenggu perasaan takut, bimbang dan resah terhadap pertuduhan tersebut.

Tegasnya, kebenaran tidak terletak kepada berapa banyak sokongan yang diterima sebaliknya fakta dan situasi sebenar merupakan penilaian terbaik untuk memutuskan sesuatu itu sahih atau sebaliknya.

"Kalau Anwar rasa tidak bersalah, beliau dengan rela hati menyerahkan segala kemungkinan kepada pihak berkuasa. Tetapi apabila Anwar bertindak begini, beliau telah mencerminkan dirinya sedang takut sehingga sanggup mengganggu proses mahkamah.

"Anwar sepatutnya jaga tingkah laku, akhlak dan perbuatan sebagai pemimpin. Ini tidak, sering sahaja timbulkan kontroversi,'' ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar pula menganggap sokongan yang dinyatakan itu hanyalah taktik pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan daripada situasi semasa negara kini.

Jelasnya, perlu disedari betapa kekayaan negara ini sedikit sebanyak menarik negara luar untuk mencari ruang bagi menakluk Malaysia dari segi ekonomi dan pemikiran rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat tidak terpengaruh dengan permainan itu sebaliknya sentiasa berfikir dan menilai apa yang berlaku supaya tidak mudah terpedaya dengan kenyataan itu.

"Negara luar sengaja menangguk di air keruh untuk kembali menakluk negara ini yang kaya dengan hasil semula jadi. Itu harus kita fikirkan.

"Kita perlu tegas berpegang dengan pendirian bahawa mahkamah menentukan segalanya," tegasnya. - Utusan

* Mahkamah benar penggunaan nama 'Allah' dia lawan pula. Inilah hipokritnya UmnoBN...

No comments:

Post a Comment