25 February 2010

Imam saman RM5j

KUALA LUMPUR: Imam Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi memfailkan saman RM5 juta terhadap Pengerusi dan Persatuan Penduduk Taman Desa Kerinchi kerana didakwa memfitnah sehingga menyebabkan kredibilitinya tercemar.

Mohamad Afandi Che Harun memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam, melalui Tetuan Yusma Azlin & Co.

Dia yang mula bertugas di masjid itu pada 1 Februari 2009 menamakan pengerusi persatuan, Mohd Anuar Idris dan persatuan itu sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan afidavit difailkan, Mohamad Afandi mendakwa pada 5 Januari 2010 dia menerima surat tanpa tarikh yang dialamatkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui seorang pegawai kanan di jabatan itu.

Dia mendakwa surat itu ditulis dan ditandatangani pengerusi persatuan yang disalinkan kepada Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai 2, ahli jawatankuasa penduduk, pemimpin masyarakat dan anak kariah masjid itu (yang juga pengerusi persatuan penduduk).

Mohamad Afandi mendakwa ada menghubungi defendan pertama pada keesokan harinya untuk berbincang dan diakui sendiri oleh Mohd Anuar bahawa dia yang menghantar surat itu.

Plaintif mendakwa semua pernyataan fitnah yang terkandung dalam surat itu tidak berasas, rekaan dan fitnah.

Akibat daripada fitnah itu dia mengalami kerosakan nama baik, imej, maruah, mencemarkan reputasi, menyebabkan kemarahan, tekanan, kekecewaan, gangguan emosi dan mental.

Selain tuntutan ganti rugi, plaintif juga memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk tulisan. Antara pernyataan fitnah itu, plaintif didakwa tidak mesra masyarakat, sombong dan tidak mengambil kira aduan serta cadangan.

Selain itu, plaintif didakwa jarang kelihatan atau tidak hadir walau diundang dalam program sosial seperti kenduri, kematian, pengurusan jenazah, majlis perkahwinan, doa selamat dan tahlil.

Plaintif juga didakwa membuat sesuatu aktiviti dan mengeluarkan perbelanjaan masjid tanpa merujuk atau mengadakan mesyuarat dengan ahli jawatankuasa masjid bagi mendapat kelulusan.

Mohamad Afandi ketika ditemui berkata dia memfailkan saman itu bagi membela dirinya selepas kredibilitinya tercemar akibat tindakan defendan. - Mymetro

* Imam kenalah banyak bersabar...

No comments:

Post a Comment