24 February 2010

Artikel hukuman sebat: KDN beri The Star surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR, Feb 24 — Akhbar The Star, yang menerbitkan rencana bertajuk “Persuasion, not compulsion” berhubung isu hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam baru-baru ini, diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Ekoran tindakan KDN itu, akhbar berkenaan dikehendaki memberi penjelasan bertulis berhubung penerbitan artikel berkenaan dalam tempoh 14 hari.

The Malaysian Insider difahamkan surat tunjuk sebab diterima petang tadi.

Kata sumber, KDN akan menentukan tindakannya selepas menerima penjelasan daripada The Star.

Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada hari akhbar berkenaan menerbitkan permohonan maaf di muka surat tiga berhubung rencana tersebut.

Di bawah notis permohonan maaf itu yang bertajuk “Bukan bertujuan mahu mengguris”, The Star berkata pihaknya difahamkan bahawa artikel tersebut telah menyinggung perasaan beberapa pihak.

“Kami ingin menyatakan bahawa bukan niat kami untuk menghina atau menyinggung umat Islam dengan artikel yang ditulis oleh pengarang urusan P. Gunasegaran yang diterbitkan pada Jumaat lalu.

“Dengan ikhlas akhbar The Star memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan rencana berkenaan,” kata notis itu.

Kelmarin seorang ahli perniagaan membuat laporan polis berhubung penerbitan rencana berkenaan dengan mendakwa telah menghina penganut dan perundangan Islam di Malaysia.

Esok syarikat penerbitan akhbar The Star akan melancarkan produk barunya Mingguan Star, yang akan muncul dalam Bahasa Malaysia.

Ia akan diedarkan secara percuma setiap Ahad bersama The Sunday Star. - Malaysianinsider

No comments:

Post a Comment