20 February 2010

Alat pengesan laju dipasang pada semua kenderaan JKJR

NILAI 20 Feb. – Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan memasang alat pengesan kelajuan pada semua kenderaan jabatan itu di seluruh negara bagi membolehkan kelajuan sesebuah kenderaan dikesan dari dalam kenderaan JKJR.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata, alat yang dikenali sebagai sistem pemantauan kelajuan itu turut dilengkapi ”penembak laser” dan akan diguna untuk operasi rambang menyasarkan bas ekspres.

"Ini sebagai usaha advokasi kempen keselamatan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas memantau penggunaan sistem pemantauan kelajuan bas di Hentian Rehat dan Rawat Nilai (arah selatan), Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kenderaan JKJR yang dipasang alat pengesan kelajuan itu akan mengekori bas serta merekod kelajuannya dan jika ia melebihi had laju, pegawai akan menahan bas terbabit seterusnya memberi ceramah kepada pemandu sebelum rekod itu dihantar kepada syarikat bas berkenaan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengarahkan semua syarikat konsesi menyediakan kenderaan tunda bagi mengalihkan kenderaan rosak termasuk bas dan lori dari tepi jalan dalam tempoh 15 hingga 20 minit bagi mengelakkan kemalangan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama LLM yang turut disertai syarikat konsesi pada minggu lepas. – Bernama

No comments:

Post a Comment