Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra hari ini melafazkan sumpah "Yamin Istizhar" (sumpah jelas) di Mahkamah Tinggi Syariah bagi membolehkan isterinya Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250.
Lafaz sumpah yang dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yusof Awang itu bagi melengkapkan perintah mahkamah tersebut pada 13 Dis lalu agar Manohara kembali taat dan membayar hutang tersebut.
Sebaik selesai Tengku Muhammad Fakhry Petra melafazkan sumpah itu maka Manohara perlu kembali taat kepada suaminya dalam tempoh 14 hari manakala hutang itu perlu dibayar sekaligus dalam masa 30 hari, lapor Bernama.
Ketika melafazkan sumpah tidak sampai lima minit itu, anakanda kedua Sultan Kelantan itu menyebut bahawa kesemua wang yang diberikan kepada Manohara adalah harta "Dom" plaintif dan diberikan pada sebelum dan selepas perkahwinan adalah hutang semata-mata.
Beliau juga mengaku segala keterangan seperti dalam dua tuntutan itu adalah benar.
Tengku Temenggong Kelantan yang memakai suit hitam lengkap bersongkok itu kelihatan tenang dan lancar ketika membacakakan lafaz sumpahnya itu dan kelihatan mengukir senyuman sebaik selesai.
Mohd Yusof kemudiannya mengulangi sekali lagi perintah yang dikeluarkannya sebelum ini agar Manohara kembali taat dan membayar hutang dalam tempoh berkenaan bermula hari ini.
Ketika di luar mahkamah, Tengku Temenggong Kelantan enggan mengulas mengenai prosiding itu sebaliknya meminta peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar untuk membuat kenyataan.
Zainul Rijal berkata jika Manohara ingkar terhadap perintah itu maka model berasal dari Indonesia itu tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan daripada suaminya dan boleh dianggap isteri nusyuz.
Manohara yang kini masih isteri kepada Tengku Temenggong Kelantan itu bagaimanapun masih berhak memakai gelaran Cik Puan Temenggong iaitu gelaran yang diberikan selepas perkahwinan.
Pada prosiding itu, Manohara atau wakilnya tidak hadir dan pada 3 November lepas peguamnya Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie menarik diri dari mewakilinya.
Beberapa wartawan dari Indonesia juga turut membuat liputan prosiding mahkamah itu hari ini. - Malaysiakini
* Jangan pula tak hadir di mahkamah antarabangsa nanti.
No comments:
Post a Comment