08 January 2010

Rela perangi jenayah

PUTRAJAYA 7 Jan. – Seramai 1,042 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) akan ditempatkan sebagai polis sukarelawan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor untuk mencegah jenayah di kawasan-kawasan panas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah itu ialah sebahagian daripada 5,187 anggota Rela yang telah dikenal pasti secara bersama oleh pihak polis di bawah projek anggota polis sukarelawan (PVR).

Katanya, Rela sejak tahun lalu telah digerakkan bersama dengan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dalam gerak kerja mencegah jenayah bersama dengan polis.

‘‘Inisiatif ini adalah dengan mengenal pasti ahli-ahli yang sesuai untuk diberi latihan oleh Polis Diraja Malaysia bagi diserap sebagai polis sukarelawan.

‘‘Ini bertujuan meningkatkan kehadiran anggota polis terutamanya di kawasan panas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi Rela di sini hari ini.

Beliau berkata, PVR merupakan salah satu inisiatif untuk menjayakan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dari segi pencegahan jenayah.

‘‘Perdana Menteri dalam ucapan Bajet 2010 telah menetapkan sasaran supaya seramai 3,000 sukarelawan daripada Rela dan JPAM diserapkan sebagai PVR.

‘‘Tetapi pada masa kini lebih daripada 5,000 anggota Rela dikenal pasti dan ini belum ditambahkan dengan ahli daripada Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.

Hishammuddin berkata, sehingga 31 Disember lalu, Rela berjaya mendaftarkan seramai 944,639 orang dan menyasarkan 500,000 anggota lagi pada tahun 2010.

‘‘Saya mahu penyertaan daripada pelbagai kaum juga ditingkatkan bagi merealisasikan konsep 1Malaysia.

‘‘Kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan khususnya di bawah program Sukarelawan Muda Rela, Program Latihan Khidmat Negara serta penubuhan platun Rela di institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya. - Utusan

* Beri mereka senjata api.

No comments:

Post a Comment