08 January 2010

Kepala Ismail dibedah siasat

SEREMBAN 7 Jan. - Kepala salah seorang mangsa pembunuhan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh yang ditemui di Shah Alam semalam, kini ditempatkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, kepala Allahyarham Ismail Awang, 76, akan dibedah siasat oleh pasukan patologi hospital itu sebelum diserahkan kepada keluarganya.

"Pihak patologi masih menjalankan bedah siasat dan selepas itu ia akan diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kepala mangsa ditemui ditanam di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hasil siasatan ke atas seorang suspek, Rashidi Ismail, 34.

Rashidi yang juga anak kepada Ismail ditahan pihak polis di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, semalam.

Dia dipercayai boleh membantu polis dalam kes bunuh yang turut melibatkan tiga mangsa lain iaitu bekas imam, Atan Daud, 90; isterinya, Sufiah Keatas, 80; dan seorang lagi anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22, Selasa lalu.

Mohd. Zaki memberitahu, pihaknya turut menyiasat motif pembunuhan dan bagaimana suspek berada di Kuala Lumpur serta mengapa dia membawa kepala mangsa ke Shah Alam.

"Kepala mangsa ditemui ditanam dalam keadaan berbungkus dengan plastik dan dimasukkan ke dalam sebuah beg galas.

"Kami masih menunggu hasil siasatan lanjut ke atas suspek yang kini ditahan reman," tegasnya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa memberitahu, kepala berkenaan akan dikebumikan di dalam liang lahad di mana keempat-empat mangsa disemadikan semalam. - Utusan

No comments:

Post a Comment