KUALA KANGSAR 15 Jan. – Mulai tahun ini, pengambilan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan berdasarkan kepada komposisi kaum selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan secara rawak peserta PLKN telah dilupuskan dan Kumpulan 1 Siri 7/2010 telah ditetapkan mengikut komposisi kaum iaitu 60 peratus bumiputera, Cina (28), India (10) dan kaum-kaum lain (dua).
"Komposisi ini sengaja dibuat bagi menterjemahkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat supaya konsep 1Malaysia dapat dicerminkan dalam pengambilan peserta PLKN.
"Ia bagi mewujudkan interaksi yang mendalam dan dijadikan satu proses asimilasi sosial, agar terdapat komunikasi silang budaya antara peserta bagi memahami perbezaan antara mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran 1Malaysia PLKN di Kem Desa Rimba, Chenderoh, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad. - Bernama
No comments:
Post a Comment