PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan nilai sebenar sebuah enjin pesawat F5-E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk `afterburner'' ialah RM303,570.
Beliau berkata, nilai itu adalah berdasarkan kontrak pembelian pada tahun
1972 dengan mengambil kira nilai tukaran matawang negara pada masa itu.
Bagi pesawat yang mempunyai dua enjin pula, nilai sebenar adalah antara
RM3.895 juta hingga RM28.047 juta bergantung kepada kecanggihan peralatan pada
ketika itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak pembelian kes Foreign Military Sales
dalam siri MF-D-SAV telah dibuat pada tahun 1972. Harga sebuah enjin ketika itu
termasuk `afterburner'' bernilai USD$121,428 dan kadar pertukaran mata wang
Malaysia pada ketika itu ialah RM303,570," katanya.
Ahmad Zahid berkata, demikian sebagai membetulkan laporan akhbar hari ini
yang antara lain menyebut enjin tersebut bernilai antara RM8.5 juta sehingga
RM28 juta.
Isu harga enjin itu timbul selepas ada laporan media sebelum ini yang
menyebut nilai dua enjin pesawat F-5E milik TUDM yang dicuri itu adalah RM50
juta.
Beliau berkata, nilai RM50 juta itu mungkin anggaran pihak lain berasaskan
harga enjin baru pada masa ini, memandangkan kementeriannya dan pihak yang
membuat siasatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Namun, tempoh yang lama diambil (untuk menjelaskan nilai enjin sebenar)
sehingga tindakan mahkamah dilakukan adalah kerana lazimnya mengikut prosedur
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih
dahulu.
"Oleh kerana kes ini melibatkan barangan teknikal, maka suatu tempoh yang
panjang diambil bagi memperoleh semua maklumat dan dokumen yang berkaitan,"
katanya.
Semalam, dua orang iaitu seorang anggota TUDM berpangkat sarjan dan seorang
pengarah syarikat pembekalan dihadapkan di mahkamah atas dakwaan terlibat dalam
mencuri dan menjual enjin pesawat itu.-Bernama
No comments:
Post a Comment