07 January 2010

Anak rakan baik curi barang kemas RM25,000

KUALA LUMPUR: Gara-gara membenarkan anak rakan baik menumpang tidur, seorang lelaki kerugian hampir RM25,000 ekoran barang kemas milik anak perempuannya lesap dalam satu kejadian di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pekan Batu, Sentul di sini.


Kejadian Isnin lalu, disedari mangsa yang berumur 48 tahun selepad mendapati barang kemas milik anaknya yang disimpan dalam almari baju
rumahnya hilang kira-kira jam 12 tengah malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Zainuddin Ahmad berkata barang kemas
yang hilang itu terdiri daripada dua utas rantai leher, empat bentuk cincin dan
dua pasang subang.

"Mangsa menyedari barang itu hilang apabila anak kenalannya, seorang lelaki
yang berumur 20 tahun, menghilangkan diri pada malam kejadian setelah menumpang
tidur semalaman di rumahnya," katanya.


Beliau berkata, hasil siasatan, polis berjaya memberkas suspek di kawasan
sekitar PPR berkenaan jam 2 pagi semalam.

"Suspek sudah memajakkan kesemua barang kemas itu di sebuah kedai pajak
gadai di Chow Kit dan siasatan mendapati hasil duit dari pajak gadai itu
digunakan untuk kegunaan sendiri memandangkan suspek tidak bekerja," katanya.

Suspek direman bermula hari tangkapan sehingga esok dan kes disiasat
mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Zainuddin berkata, seorang pelajar
kolej swasta di ibu negara kerugian hampir RM5,000 apabila disamun dua lelaki
bermotosikal yang bersenjatakan parang di Sri Segambut, Selasa lalu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa yang berumur 19
tahun diacukan parang sebelum diugut untuk menyerahkan barang berharga milik

mangsa.

"Dua suspek terbabit tidak dapat dikenal pasti identitinya kerana memakai
helmet fullface dan mangsa juga gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal
suspek.

"Antara barang mangsa yang disamun termasuklah satu unit komputer riba,
telefon bimbit Nokia N97, dan wang tunai berjumlah RM450," kata Zainuddin.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang awam sentiasa berwaspada ketika berjalan
kaki berseorangan di tempat-tempat sunyi bagi mengelakkan berlakunya kejadian
ragut dan samun.-Bernama

No comments:

Post a Comment