03 January 2010

MB Perak saman Suara Keadilan RM100 juta

IPOH 3 Jan. - Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menyaman akhbar Suara Keadilan sebanyak RM100 juta berhubung artikel yang disifatkan beliau sebagai fitnah keterlaluan.

Katanya, beliau telah berbincang dengan peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar itu yang melaporkan berita tanpa mengikut etika kewartawanan dan prinsip pemberitaan.

"Pada mulanya, cadangan adalah untuk saya menyaman mereka RM 1 atau 5 sen tetapi memandangkan pemimpin akhbar itu suka saman orang dengan nilai RM100 juta, jadi kenapa tidak saya saman RM100 juta juga?,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh di Kampung Tai Lee di Buntong di sini hari ini.

Sebelum ini katanya, beliau tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan yang menggunakan bermacam-macam gelaran serta menulis pelbagai laporan palsu yang menyimpang bertujuan memburukkan kerajaan negeri pimpinannya.

"Tetapi dengan pembohongan yang keterlaluan dalam artikel keluaran terbaru mereka, sudah tiba masanya untuk saya bertindak,” katanya.

Zambry berkata akhbar itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam menulis berita atau laporan kerana ia turut mencerminkan kredibiliti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Akhbar ini membuat pembohongan besar apabila melaporkan saya ditahan di Lapangan Terbang San Francisco di Amerika Syarikat, disiasat, disyaki pengganas dan kemudiannya dihantar pulang ke Malaysia...laporan terbabit tidak benar sama sekali dan ia jelas fitnah semata-mata,” katanya.

— BERNAMA

Berita Sebelum Ini

AS halang Zambry masuk kerana didakwa pengganas

Amerika Syarikat menghalang Menteri Besar Barisan Nasional Perak, Zambry Abd Kadir daripada memasuki Amerika negara itu kerana namanya tercatat dalam senarai pengganas yang dikenalpasti oleh negara tersebut.

Memetik laporan akhbar rasmi PKR, Suarat Keadilan, Zamry berlepas ke San Francisco 9 Disember lalu atas misi perdagangan dan pelaburan anjuran Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Menurut sumber yang rapat dengan pejabat Menteri Besar Perak, sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco pihak imigresen menahan Zambry dari memasuki negara itu apabila nama beliau tersenarai dalam pangkalan data pengganas.

Sumber tersebut memberitahu Suara Keadilan keadaan itu menimbulkan kecurigaan pada pihak keselamatan dan Zambry gagal meleraikan syak wasangka pegawai AS berkenaan.
Zambry tidak ada pilihan kecuali menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.

"Beliau sepatutnya mengetuai delegasi Perak untuk mempromosi peluang pelaburan dan perdagangan tetapi diarah pulang dan tidak ada perwakilan Perak untuk misi itu," kata sumber.
Misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat anjuran MIDA berlangsung dari 7 hingga 12 Disember di San Francisco dan Los Angeles.

Ketika dihubungi Penolong Pengarah Kanan MIDA (FDI Amerika), Norhizam Ibrahim berkata pihaknya hanya diberitahu Zambry ada komitmen lain dan tidak dapat menghadiri misi berkenaan.

* Apa pun polis perlu siasat Zambry samada dia terlibat dengan keganasan. Tindakan menyeret speaker, mencabuli demokrasi di Perak itu satu bentuk keganasan.

No comments:

Post a Comment