SHAH ALAM 13 Jan. — Setelah lima tahun, kes permohonan faraid pelakon dan model, Sharmaine Farouk terhadap harta bernilai RM5.4 juta peninggalan ayahnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Farouk Isahak akhirnya selesai dan pihak yang terlibat hanya menunggu Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan sijil faraid.
Sijil Faraid yang bakal dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohammad Adib Husain akan menentukan bahagian yang berhak diterima setiap waris arwah yang mempunyai enam anak daripada dua perkahwinan.
Tarikh pengeluaran sijil itu bagaimanapun tidak dimaklumkan.
Harta peninggalan arwah yang merupakan seorang ahli perniagaan adalah dalam bentuk wang tunai, saham, unit amanah, keahlian kelab dan hartanah seperti apartmen, kondominium, rumah serta tanah.
Selain pelakon filem Panggilan Pulau dan XX Ray pada tahun 90-an itu, anak arwah yang lain dengan perkahwinan pertama ialah, Ahmad Ridzuan, 48; Soraya, 46; Ahmad Rezal, 44; Serena, 41 manakala Aimran Ambari, 13, adalah anak daripada perkahwinan kedua. - Bernama
No comments:
Post a Comment