28 January 2010

Jamal dilepas tanpa dibebas tuduhan ugut isteri

SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini semalam melepas tanpa membebaskan penyanyi Jamal Abdillah daripada tuduhan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) tiga tahun lalu.

Majistret Norkamilah Aziz membuat keputusan itu selepas Fatimatuzahra yang merupakan saksi kedua pendakwaan gagal hadir memberi keterangan pada perbicaraan semalam.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Fatimatuzahra tidak hadir kerana sapina tidak dapat diserahkan kepadanya.

Siti Syakimah kemudian memohon untuk memanggil saksi pendakwaan ketiga untuk memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat kes itu.

Peguam bela Jamal, Ahmad Fariz Mohamed kemudian membantah permohonan pendakwaan dan memberitahu mahkamah bahawa pada 8 Disember lalu, Fatimatuzahra yang merupakan pengadu dalam kes itu dipanggil untuk memberi keterangan tetapi wanita itu memberitahu bahawa dia tidak berminat untuk memberi keterangan tanpa memberikan sebarang alasan.

"Jika pengadu tidak dapat dipanggil hari ini (semalam) saya pohon supaya anak guam saya dilepas tanpa dibebaskan dan jika pendakwaan berjaya mengubah hasrat pengadu (kemudian) bolehlah panggil dan dakwa anak guam saya," katanya. - Kosmo

No comments:

Post a Comment