28 January 2010

Tuntutan cerai bekas madu Noraniza diterima

KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun menderita berikutan sering didera secara fizikal dan mental oleh suaminya, isteri ahli perniagaan, Mastura Bakar mampu menarik lafaz lega selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam meluluskan permohonan cerai fasakh yang difailkan tahun lalu.

Datuk Muhamad Mustaffa Idrus, 54, yang juga bekas suami kepada penyanyi Noraniza Idris gagal hadir ke mahkamah sejak kes itu dibicarakan, malah mahkamah hanya mendengar prosiding perbicaraan di sebelah pihak plaintif (Mastura) saja.

Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti semua dakwaan plaintif dan keterangan semua saksi mahkamah meluluskan permohonan itu berikutan defendan (Muhamad Mustaffa) tidak pernah mahu membela dirinya dan memerintahkan keputusan itu berkuat kuasa semalam.

Ketika ditemui di luar mahkamah Mastura, 24, berkata, beliau menerima keputusan mahkamah itu dengan senang hati.

Menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Noraniza yang ingin menyaman Mastura kerana membabitkannya dalam kes perceraian, plaintif hanya tersenyum dan berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan penyanyi itu dan bersedia jika bekas madunya ingin menyamannya.

“Saya menyebut namanya dalam mahkamah kerana ia diperlukan untuk perbicaraan. Saya sekadar mengikut prosedur dan tidak lebih daripada itu. Beliau (Noraniza) ada mesej saya menyatakan saya mengaibkan beliau dan mengaitkan namanya dalam permohonan saya. Jika beliau mahu saman, saya tidak kisah,” katanya.

Muhamad Mustaffa juga berkahwin dengan dua wanita termasuk warga Indonesia dan mempunyai tiga lagi bekas isteri iaitu Noraniza, Norazni Arifin dan Rosadah Abu Bakar. - Bharian

No comments:

Post a Comment