SHAH ALAM 14 Jan. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan larangan pengunaan kalimah Allah terhadap penganut bukan Islam di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, keputusan larangan penggunaan kalimah Allah itu telah diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta majlis fatwa negeri pada tahun lalu dan mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sehubungan itu tegas beliau, tindakan mempertikaikan keputusan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana menghina dan ingkar perintah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis fatwa negeri.
Menurut beliau, jika didapati bersalah mengikut enakmen itu boleh dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
"Kita (JAIS) nak jelaskan bahawa keputusan melarang pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bukannya soal politik tetapi ia melibatkan soal akidah dan kepentingan umat Islam.
"Maka sebab itu, MAIS, majlis fatwa negeri membuat ketetapan pengunaan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain selain Islam berasaskan kajian dan penyelidikan mendalam mengenai perkara itu.
"Merujuk kepada kenyataan Khalid yang mempertikaikan keputusan tersebut, saya harap beliau dapat menimbangkannya semula kerana beliau boleh dikenakan tindakan mengikut enakmen itu," ujarnya selepas mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) di sini hari ini. - Utusan
No comments:
Post a Comment