ALOR STAR: Seorang ibu tunggal tergamak bersekongkol dengan anak perempuannya untuk melakukan maksiat dengan mengajak pasangan masing-masing menyewa dua bilik yang terletak bersebelahan di sebuah hotel bajet berhampiran terminal bas Shahab Perdana, awal pagi kelmarin.
Tindakan wanita berusia 40 tahun itu turut merosakkan masa depan anak perempuannya yang hanya berusia 15 tahun kerana dia sepatutnya melarang anaknya terjebak dengan kancah maksiat dan bukan memberi galakan untuk anaknya melakukan kegiatan itu.
Ketika dicekup, wanita terbabit yang menetap di Kampung Seberang Terus, Mergong, mendakwa pasangannya yang berusia 29 tahun itu adalah sepupunya dan mengaku remaja perempuan di sebelah bilik disewanya itu adalah anak perempuannya yang bersama teman lelaki berusia 24 tahun.
Wanita itu turut memberitahu mereka datang ke situ bersama pasangan masing-masing sekadar untuk berehat dan tidak mahu membawa pasangan mereka ke rumah kerana ahli keluarga yang lain berada di situ.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata pasangan itu ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram, malah remaja itu pula masih bersekolah di tingkatan tiga menyebabkan pihaknya terpaksa menahan mereka untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, sebelum itu pihaknya mengetuk pintu sebuah bilik di tingkat satu hotel bajet berkenaan sebelum dibuka seorang wanita yang berpakaian lengkap dan pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dalam bilik itu.
“Mereka gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Anggota kami kemudian mengetuk pintu bilik bersebelahan dan mendapati terdapat seorang remaja perempuan berada dalam bilik itu bersama seorang lelaki yang bukan mahram duduk berdua-duaan dalam bilik berkenaan,” katanya.
Muhammad Suhaimi berkata, pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam serbuan di hotel berasingan di Jalan Tanjung Bendahara, seorang wanita berusia 20-an tidak berhenti beristighfar sebaik dicekup berkhalwat dengan tunangnya kira-kira jam 1 pagi selain hampir pengsan ketika dibawa masuk ke dalam van penguat kuasa.
Ketika pintu bilik diketuk, seorang lelaki yang hanya berseluar jeans tanpa baju membuka pintu bilik dan anggota penguat kuasa Jaik mendapati seorang wanita yang menutup badannya dengan selimut sedang tidur di atas katil sehingga terpaksa dikejutkan.
Wanita itu yang juga kakitangan kerajaan itu turut memberi alasan kakinya sakit menyebabkan dia terpaksa menyewa bilik hotel berkenaan sementara menunggu hari siang. - Mymetro
No comments:
Post a Comment